Jangan tergesa-gesa benarkan tanaman hem

Jangan tergesa-gesa benarkan tanaman hem

BANYAK tumbuhan lain yang boleh ditanam selain pokok daripada spesies ganja bagi menjana keuntungan. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN diminta tidak tergesa-gesa untuk membenarkan penanaman hem iaitu sejenis spesies ganja atau sebarang jenis tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan dadah sehingga satu kajian mendalam dilaksanakan.

Kerajaan boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa yang tidak hanya dianggotai oleh ahli politik atau ahli Parlimen bagi meneliti perkara berkaitan dengan proses penanaman sebarang jenis tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan dadah secara lebih teliti sebelum sebarang kata putus dibuat.

Kerajaan boleh menjemput pakar-pakar yang berkaitan dengan bidang perubatan dan undang-undang bagi menganggotai jawatankuasa ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan serta ahli akademik dari universiti tempatan juga boleh dijemput sama. Ini penting supaya kerajaan serta semua pihak  benar-benar faham mengenai segala isu berbangkit berhubung perkara ini.

Pada pandangan saya, banyak tumbuhan lain boleh ditanam bagi menjana keuntungan serta tiada risiko penyalahgunaan yang boleh diberi perhatian serius untuk ditanam dan dimajukan berbanding tumbuhan ataupun pokok yang berkaitan dengan dadah seperti hem. Umum telah pun ketahui kesan buruk yang dibawa oleh dadah kepada masyarakat  apabila ia disalahgunakan.

Banyak kehidupan yang telah rosak akibat daripada penyalahgunaan dadah. Isu yang melibatkan hem ataupun sebarang jenis dadah perlu dipandang dengan serius dari sudut implikasi atau kesan terhadap risiko penyalahgunaannya dan bukan dipandang dari sudut penjanaan keuntungan semata-mata.

PANTAU

Sebarang usaha untuk menghasilkan dadah bagi tujuan perubatan tidak seharusnya melibatkan kebenaran untuk menanam tumbuh-tumbuhan yang diusahakan sebagai satu bentuk industri bagi menjana pendapatan untuk rakyat dan kepada negara kita sendiri.

Kita harus meneliti kesan daripada langkah yang ingin diambil terhadap perkara ini dengan teliti sebelum sebarang kata putus diambil terhadapnya.

Kita perlu memandang serius terhadap kesan penggunaan hem serta pelbagai jenis tumbuhan dadah yang ada ini pada individu terutama jika ia disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab kelak.

Adakah kita memiliki proses pemantauan dan penguatkuasaan yang benar-benar berkesan bagi membendung sebarang jenis penyalahgunaan yang berlaku terhadap penanaman hem kelak? Sekiranya tidak mampu adalah baik kita kekalkan status quo atau keadaan seperti sekarang ini.

Kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang telah mengambil langkah berlainan terhadap isu ini kerana faktor-faktor yang ada dalam negara dan keadaan masyarakat mereka yang amat berlainan dengan masyarakat kita.

Sekiranya kita masih ingin menanam hem, keutamaan harus diberikan kepada aspek pemantauan, penguatkuasaan serta perlindungan kepada orang ramai daripada risiko penyalahgunaan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan hem atau sebarang jenis tumbuhan yang mempunyai kaitan dengan dadah semata-mata untuk mengaut keuntungan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN