Jangan sehari sahaja hargai ibu

Jangan sehari sahaja hargai ibu

KASIH sayang orang lain tidak sama dengan yang dicurahkan seorang insan bernama ibu. – GAMBAR HIASAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SECARA rasminya Hari Ibu disambut di Malaysia setiap tahun pada hari Ahad kedua dalam Mei sebagai tanda penghargaan kepada golongan wanita yang bergelar ibu.

Banyak aktiviti dilaksanakan oleh pelbagai pihak untuk meraikan para ibu pada tarikh tersebut. Namun, untuk meraikan ibu bukan sekadar tertakluk pada tarikh tertentu semata-mata, bahkan kita perlu meraikan ibu sepanjang masa semampunya.

Begitu juga meraikan ibu bukan sekadar dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti menghadiahkan jambangan bunga atau mengucapkan rasa sayang tetapi perlu diserlahkan melalui amalan-amalan lain yang bersifat lebih realistik dan bermakna.

Sebagai anak, ibu juga perlu diberikan perhatian. Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar. Apa salahnya untuk ibu yang telah mencecah usia emas menetap bersama-sama kita supaya boleh dijaga makan minum dan pakainya?

Walaupun ibu kita sudah meninggal dunia dan tidak lagi berada di depan mata, sebagai anak kita perlu terus mendoakan kesejahteraan roh ibu agar sentiasa dirahmati Allah SWT dan diletakkan dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Cuba kita sama-sama menghayati rangkap-rangkap terakhir dalam puisi bertajuk Ke Makam Bonda karya Usman Awang: Begitulah bakti kami berikan, tiada sama bonda melahirkan, kasih bonda tiada sempadan, kemuncak murni kemuliaan insan.

Jelaslah bait-bait puisi ini mengajak kita mengakui bahawa sesungguhnya kasih sayang yang diberikan oleh orang lain tidak akan dapat menandingi kasih sayang yang dicurahkan oleh seorang insan bernama ibu. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya