Henti guna sampul duit raya

Henti guna sampul duit raya

MENJADI kebiasaan rakyat Malaysia sejak dahulu lagi memberi duit raya khususnya kepada kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH menjadi kelaziman budaya rakyat Malaysia sejak dahulu lagi memberi duit raya khususnya kepada kanak-kanak.

Namun, sedar atau tidak, aktiviti memberi duit raya secara tunai menggunakan sampul wang boleh menghasilkan sisa yang memberi kesan kepada persekitaran.

Setiap kali tiba musim perayaan, pelbagai reka bentuk sampul duit raya baharu akan berada di pasaran. Bahkan, ada golongan yang turut menyasarkan ingin mendapat sampul duit raya daripada organisasi tertentu seperti bank.

Malah, telah tertanam di benak ­fikiran mereka, sampul duit raya sebegini seolah-olah memberi semangat yang luar biasa kepada pemberi dan juga penerima.

Duit tunai yang selalunya dimasukkan ke dalam sampul akan diberikan ketika aktiviti ziarah dan juga rumah terbuka. Sememangnya sampul wang ini digunakan untuk menyembunyikan nilai wang diberikan oleh si pemberi.

Tapi lazimnya, setelah duit itu dikeluarkan dan disimpan di dalam tabung mahupun bank, sampul-sampul ini tidak lagi digunakan.

Walaupun pada dasarnya ia boleh diguna semula pada masa hadapan, sampul-sampul wang ini selalunya dibuang begitu sahaja.

Tambahan pula, kanak-kanak akan mengoyak sampul ini bagi melihat dan mengambil kandungannya. Jelas pembuangan sampul-sampul wang ini adalah salah satu bentuk pembaziran yang mungkin boleh memberi kesan kepada alam sekitar sekiranya tidak diurus dengan bijak.

Dalam kecanggihan teknologi dunia serba moden ini, sisa ini boleh diatasi dengan pemberian wang raya dalam bentuk digital atau e-dompet.

Hampir semua institusi perbankan mempunyai aplikasi yang menyokong transaksi maya ini termasuk penyedia perkhidmatan e-tunai.

Mungkin sudah tiba masanya kita lupakan sahaja sampul duit raya pada musim perayaan akan datang. Kelestarian alam sekitar lebih penting dan diutamakan.

Sekiranya masih perlu khidmat sampul duit ini, boleh juga digunakan semula yang lama. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya