Gaji minimum RM1,500 sudah tidak relevan

Gaji minimum RM1,500 sudah tidak relevan

KADAR gaji minimum baharu yang ditetapkan oleh kerajaan masih tidak mencukupi bagi menampung kehidupan pekerja di bandar-bandar besar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA memulakan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu dengan berita gembira pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,500 untuk sektor yang telah ditetapkan.

Ini adalah satu keputusan yang dinanti-nantikan oleh sebahagian besar pekerja dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) yang bergelut untuk terus bertahan dengan gaji sangat sedikit dan pada masa sama berhadapan situasi kenaikan kos sara hidup.

Walaupun mereka lega sedikit dengan penetapan gaji minimum, namun harus diingat kadar RM1,500 sebulan untuk hidup di bandar seperti Lembah Klang dengan kos sara hidup tinggi boleh dikatakan sudah tidak relevan dan masih jauh daripada mencukupi.

Dalam pada itu, ketika fasa peralihan ke endemik, sudah pasti para pekerja berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk meneruskan kesinambungan kerjaya termasuk tuntutan pembudayaan dan amalan norma baharu. Ringkasnya, corak pemikiran dan cara bekerja perlu berubah mengikut situasi semasa.

Harus diingat, kita belum beralih sepenuhnya ke fasa endemik. Justeru, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang tegas masih berkuat kuasa terutama di pejabat kerana kluster tempat kerja mencatatkan jumlah kes yang cukup banyak selama ini.

Di samping itu, pekerja juga dituntut untuk melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan secukupnya dalam bidang teknologi bagi berhadapan cabaran era pendigitalan. Bank Dunia misalnya menjangkakan separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka masa panjang.

Antara pekerjaan berisiko tinggi untuk beralih kepada automasi sepenuhnya ialah akauntan dan operator mesin.

GRADUAN

Adakah pekerja kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan cabaran pendigitalan ini? Selain itu, pekerja juga perlu bersedia untuk mengharungi fleksibiliti dalam kerja misalnya bekerja dari rumah (BDR) sudah menjadi antara pilihan yang ditawarkan oleh majikan.

Jujurnya, BDR ada kelebihan dan kelemahannya tersendiri. Justeru, kita sebagai pekerja perlu bijak membuat pilihan agar dapat menyesuaikan diri serta mewujudkan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan sosial yang lain.

Satu lagi cabaran yang perlu diharungi oleh pekerja terutamanya graduan baharu ialah isu ketidakpadanan kerja dengan kelayakan yang dimiliki. Peluang kerja  sangat terhad pada ketika ini serta bilangan graduan yang semakin bertambah menyebabkan berlakunya situasi penawaran melebihi permintaan.

Akibatnya, ramai dalam kalangan graduan yang terpaksa bekerja sama ada secara sementara mahupun bekerja dengan gaji yang rendah serta di bawah tahap kelayakan sebenar.

Diharap kerjasama erat antara majikan dan pekerja serta pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan akan membantu memulihkan nasib dan kebajikan golongan pekerja di negara ini. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, Serdang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya