Elak warga tua ditinggal teknologi digital - Utusan Malaysia

Elak warga tua ditinggal teknologi digital

PAKAR teknologi digital harus mengambil kira warga emas ketika membangunkan teknologi baharu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMPENA sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2022 pada 17 Mei lalu yang bertemakan Teknologi Digital untuk Warga Emas dan Penuaan yang Sihat, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mendesak dikurangkan jurang generasi dalam menggunakan teknologi itu.

Pada masa sekarang, warga emas memerlukan bantuan terutama dalam menggunakan teknologi digital terkini untuk memastikan mereka boleh terus menyumbang kepada masyarakat.

Dalam hal ini, kerajaan telah membuka jalan ke arah celik digital dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Ekonomi Digital yang turut melibatkan penggunaan teknologi mudah alih generasi kelima (5G).

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelan ini dan syarikat telekomunikasi sentiasa menyediakan pakej khusus untuk warga emas, pakar teknologi digital juga harus mengambil kira generasi tua ketika membangunkan teknologi baharu.

Generasi tua bukan warga digital jadi mereka memerlukan bantuan dan bimbingan untuk memanfaatkan perkembangan teknologi terbaharu ini.

Tiada guna mempunyai kemajuan teknologi seperti teleperubatan dan kecerdasan buatan (AI) jika warga emas tidak dapat menggunakannya untuk manfaat kesihatan mereka.

Pakar teknologi digital harus mengambil berat isu jurang antara generasi bagi mengelak secara tidak sengaja mencipta teknologi yang hanya sesuai untuk usia tertentu sahaja.

Membuat andaian warga emas tidak menggunakan teknologi ini dalam kehidupan seharian mereka akan melebarkan jurang antara generasi. Tanggapan salah ini akan mewujudkan halangan kepada akses digital oleh golongan tua.

Oleh itu, CFM menyeru setiap pihak untuk memasukkan warga emas dalam pertimbangan mereka ketika memperkenalkan teknologi baharu supaya tidak wujud jurang antara generasi. – UTUSAN

MUHAMMAD RADZILLAH ABDULLAH, Pengerusi CFM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN