Elak terlalu bergantung kepada kerajaan - Utusan Malaysia

Elak terlalu bergantung kepada kerajaan

PENGANGKUTAN diunjur antara penyumpang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan pada 2023. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KESESAKAN lalu lintas luar biasa, kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan bahan makanan.

Inilah sebahagian daripada realiti kehidupan rakyat sekarang. Namun, realiti ini akan terus dihadapi jika penyelesaian diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan.

Sudah sampai masanya kita tidak terlalu bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan semua perkara.

Mungkin kebergantungan ini berlaku kerana kejayaan dan kecekapan kerajaan pada masa dahulu dalam menyelesaikan pelbagai isu.

Namun, dunia masa kini sudah terlalu kompleks dan kerajaan tidak boleh lagi melakukannya secara sepihak.

Kebergantungan berlebihan kepada kerajaan juga sebenarnya tidak selalu berhujung kebaikan. Contohnya, kesesakan lalu lintas.

Kita menggesa kerajaan melebarkan jalan, menambah lorong dan membina lebuh raya baharu, seperti cadangan pembinaan tiga lebuh raya baharu di Lembah Klang yang diumumkan baru-baru ini.

Tetapi adakah ini bakal menyelesaikan masalah kesesakan? Dikhuatiri pembinaan lebuh raya ini hanya akan menambah bilangan kenderaan di jalan raya dan menyebabkan kesesakan baharu.

Seterusnya rakyat akan membuat desakan sekali lagi supaya kerajaan menyelesaikannya. Apakah kita tidak boleh bertahan dan berkorban sedikit pun untuk membantu menyelesaikan serba sedikit masalah ini?

Benarkah sistem pengangkutan awam semuanya terletak jauh dari rumah sehingga menghalang kita daripada menggunakannya?

Benarkah tidak ada seorang pun yang boleh berkongsi kereta di Lembah Klang sehingga menyebabkan majoriti kenderaan yang terlibat dalam kesesakan hanya digunakan oleh seorang pemandu?

Begitu juga isu kekurangan bekalan ayam sekarang. Susah sangatkah untuk kita tidak menikmati ayam buat seketika sehingga bekalan kembali stabil?

KONSORTIUM

Sudah tidak adakah sumber protein lain di negara ini? Dan bila bercakap soal pembekal ayam pula, semua penyelesaian diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan termasuk menyediakan subsidi makanan ayam, pinjaman dan mewujudkan mekanisme kawalan harga.

Apakah para pembekal tidak boleh mewujudkan sebuah konsortium yang dapat menghasilkan dan membeli makanan ternakan secara bersama yang lebih berdaya tahan menghadapi kenaikan harga?

Pandangan saya ini bukan menidakkan tanggungjawab kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat. Kerajaan masih perlu menjalankan tugas mereka.

Namun, apa salahnya kerajaan dan rakyat sama-sama mencari penyelesaian terhadap segala permasalahan yang membelenggu kita pada masa kini.

Kebergantungan berlebihan kepada mana-mana pihak pun akan menyebabkan kita berasa terlalu selesa.

Kesannya, kita tidak akan mahu membuat sebarang perubahan pada diri sendiri.

Kita juga bersikap sambil lewa dan sudah tidak kompeten lagi. Kurangnya kebergantungan kepada kerajaan adalah petanda kematangan masyarakat.

Ia juga menjadi asas kepada inovasi serta masyarakat yang lebih berdaya tahan dan bersedia dalam menghadapi sebarang krisis dan kejutan.

Bersamalah kita mengambil tanggungjawab dan bersikap proaktif dalam menyelesaikan masalah kehidupan sekarang.

Sudah-sudahlah kita berdebat mengenai siapa yang patut berbuat apa. Bangunlah dan gunakanlah segala keupayaan kita sendiri bagi memperbaiki keadaan.

Kita manusia yang dikurniakan Tuhan dengan akal ­fikiran, tenaga dan daya upaya untuk berusaha.

Biar sekecil mana pun usaha itu, ia masih sebuah usaha yang mungkin membuka jalan kepada sebuah penyelesaian lebih kekal dan menyeluruh. – UTUSAN

MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK. Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya