SAUDARA PENGARANG,
INDIA sudah menutup eksport gandum. Sekiranya tepung gandum mula dicatu, rakyat khususnya yang terlibat dengan pembuatan makanan berasaskan tepung akan menerima impak yang besar.
Kami mohon kerajaan untuk lebih mendalami isu sekuriti makanan memandangkan ini adalah masalah global. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat petunjuk atau indikator yang boleh digunakan dalam mengenal pasti jaminan makanan bagi sesebuah negara:
Ketersediaan makanan – Keupayaan isi rumah untuk mendapatkan bekalan makanan mencukupi dengan kualiti sepatutnya. Ia haruslah dibekalkan daripada pengeluaran makanan secara domestik atau import.
Akses makanan – Akses atau capaian isi rumah terhadap sumber mencukupi (hak) bagi mendapatkan makanan yang sesuai untuk menampung keperluan. Ini merangkumi pengeluaran dan simpanan stok dalam isi rumah, pembelian, hadiah, pinjaman dan bekalan makanan.
Penggunaan makanan – Kemampuan isi rumah untuk mendapatkan nutrien mencukupi melalui jumlah makanan diambil, keupayaan mendapatkan bekalan air bersih serta tahap penjagaan kesihatan bagi memenuhi pemakanan yang baik untuk mencapai keperluan fisiologi. Ini juga termasuk pengetahuan isi rumah atau individu berkaitan dengan pengurusan dan teknik pemprosesan makanan serta penyediaan makanan.
Kestabilan makanan – Setiap individu atau isi rumah mempunyai akses untuk mendapatkan makanan mencukupi pada setiap masa. Risiko luar jangka yang boleh mengancam keselamatan makanan harus diambil kira seperti krisis ekonomi, perubahan cuaca dan sebagainya.
Meneliti kepada kesemua komponen yang disarankan ini, jelaslah jaminan atau sekuriti makanan dalam sesebuah komuniti dan negara adalah penting agar setiap lapisan masyarakat memperoleh makanan asas yang berkhasiat tanpa perlu berhadapan masalah kekurangan bekalan makanan atau terpaksa membayar dengan harga melampau.
Negara-negara luar nampaknya sudah mula mengambil tindakan-tindakan perlu demi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat mereka. India, Indonesia telah memulakan langkah drastik.
Di manakah inisiatif sekuriti makanan kita? Apakah tahap kesiapsiagaan bank makanan kita? Sekiranya negara sekali lagi dilanda bencana alam berskala besar tahun hadapan atau hujung tahun ini, apakah persediaan dari segi bantuan makanan?-UTUSAN
TUN FIQA MOHAMMAD
Ketua Biro Kepenggunaan
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)