SAUDARA PENGARANG,
SEKOLAH Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan sering tersenarai sebagai antara sekolah berasrama penuh ulung dari segi akademik dan sahsiah para pelajarnya.
Nama sekolah ini bergermelapan bak bintang di langit sejak dua dekad lalu. Tersohor kerana ramai lepasannya merupakan cerdik pandai yang memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaan
Ada yang menempatkan diri dalam pelbagai bidang profesional. Bukan sahaja arkitek, jurutera dan doktor, malah menjadi timbalan menteri dan pendakwah terkenal. Bahkan, johan qariah musabaqah al-Quran datang dari SMAP Labu.
Tapi sayangnya kebelakangan ini, sekolah tersebut tergugat imejnya kerana kes buli pelajar. Difahamkan, dua kes buli berlaku dalam masa terdekat, sesuatu di luar jangkaan buat ibu bapa, pengagum serta peminat SMAP Labu.
Dikatakan pelajar putera sekolah ini diberikan ‘lebih kebebasan’ dari segi peraturan berbanding pelajar puteri. Peraturan sekolah difahamkan ketat dan dikuatkuasakan tetapi kurang diaplikasikan kepada pelajar lelaki.
Barangkali kerana keras kepala pelajar lelaki lebih sedikit sehingga membuatkan guru dan warden pening kepala.
Lantas mereka dibiarkan bebas tanpa ‘berperaturan’ sebagaimana sepatutnya perlakuan seorang pelajar berasrama penuh.
Difahamkan, waktu kelas persediaan, pelajar putera boleh turun pada bila-bila masa yang mereka mahu, sewenangwenangnya. Sedangkan pelajar puteri perlu turun pada masa yang ditetapkan.
Hatta jika pelajar puteri terlewat lima atau 10 minit, nama mereka ditulis untuk direkodkan dalam buku kesalahan disiplin.
Bukan berkenaan peraturan yang ingin dibahaskan di sini, tetapi mengapa adanya peraturan bercorak pilih kasih diaplikasikan kepada pelajar puteri sahaja?
Mendengar kisah buli di SMAP Labu sehingga sampai laporan polis dibuat oleh ibu bapa terbabit, kita di luar yang menjadi pengagum prestasi SMAP Labu cukup sedih dan kecewa. Ibu bapa pelajar berkenaan berhak membuat laporan. Kalau anak anda yang dibuli, takkan anda diam buat bodoh sahaja?
Kadangkala saya yang pernah memiliki anak belajar di SMAP terkenang ketegasan seorang pengetua wanita yang pernah bertugas di sekolah berkenaan. Beliau yang telah kembali ke rahmatullah cukup dihomati kerana kejayaannya membawa SMAP Labu ke puncak kejayaan.
Masih adakah ketegasan sedemikian itu lagi dalam pentadbiran SMAP Labu hari ini?-UTUSAN
TRAUMA BULI
Seremban