Apa ada pada Anwar, agenda reformasi?

Apa ada pada Anwar, agenda reformasi?

SANGGUPKAH Anwar Ibrahim membuat aku janji bagi memastikan negara bersih daripada rasuah dan selamat daripada ancaman wabak serta bencana alam?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin merujuk kenyataan calon Naib Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador yang diterbitkan dalam ruangan Rencana, Utusan Malaysia bertajuk Reformasi selagi Anwar belum PM pada 11 Mei lalu.

Farhash Wafa menyebut beliau mahu membawa legasi reformasi yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sehingga kini gerakan tersebut masih belum berjaya selagi Presiden PKR itu tidak diangkat menjadi Perdana Menteri.

Sementara Anwar ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Serentak Keadilan Sabah pada September 2019 mengingatkan ahli parti itu supaya tidak mengkhianati semangat perjuangan reformasi yang sememangnya sudah menjadi landasan dan tonggak PKR sejak awal penubuhannya selain terus komited merealisasikan janji untuk membawa budaya politik baharu, iaitu matlamat tidak menghalalkan cara dan kaedah yang salah.

Reformasi adalah sebuah gerakan protes yang bermula pada September 1998 di seluruh negara oleh Anwar selepas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pergerakan besar-besaran tersebut berlaku ketika negara menjadi tuan rumah Sukan Komanwel, terdiri daripada ketidaktaatan, demonstrasi, rusuhan dan aktivisme dalam talian membabitkan ribuan rakyat menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Kabinet Mahathir.

Persoalan saya, apa yang ada pada Anwar? Apa luar biasanya Anwar? Bukankah beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu?

Kenapa kedua-dua jawatan yang pernah dipertanggungjawabkan ke atas bahunya tidak kekal? Sudah tentulah ada sebab musababnya.

Persoalan seterusnya, bolehkah atau mampukah beliau membuat aku janji secara bersumpah bagi memastikan masalah rasuah, penyelewengan serta semua harga barang tidak naik selain tidak berlakunya banjir dan serangan apa jua wabak? Masalah tersebut sering menghantui perjalanan hidup rakyat dari semasa ke semasa.

Bijak berdebat atau berhujah dalam sesuatu perkara bukanlah menjadi topik keutamaan atau kayu ukur dalam mengenal pasti selok-belok perjuangan dalam mengharungi kehidupan seharian.

Sebaliknya, jati diri dalam membentuk sifat kejujuran dan keikhlasan merupakan tunjang penampilan yang terpuji kerana dengan itu sahaja akan mendapat restu dan reda daripada Allah SWT.-UTUSAN

BAHARUDDIN SAMEK
Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN