Wajibkan pasang kamera perakam

Wajibkan pasang kamera perakam

PEMANDUAN di bawah pengaruh alkohol boleh dikesan secara mudah dengan melihat semula rakaman kamera di dalam kenderaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu memberi pertimbangan yang serius bagi mewajibkan penggunaan kamera perakam video (dashcam) dalam semua jenis kenderaan di negara kita.

Ia adalah antara alat yang semakin popular digunakan oleh pemandu di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Penggunaan kamera jenis ini adalah penting untuk dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku perkara tidak diingini terutama kemalangan antara kenderaan, langgar lari, melanggar undang-undang trafik dan kecuaian ketika memandu.

Peralatan berkenaan juga penting bagi merekod sebarang jenis kejadian jenayah yang berlaku seperti kes buli jalan raya, pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan ragut.

Tidak beberapa lama dahulu, kerajaan ada menyatakan hasrat untuk menjalankan kajian penggunaan rakaman kamera terbabit di mahkamah atau sebarang tuntutan dan kes melibatkan undang-undang sivil.

Selain itu, kerajaan juga ada menyatakan mahu memberi pertimbangan bagi mewajibkan penggunaan peranti terbabit di dalam kenderaan. Namun, sehingga kini tiada perkembangan lanjut mengenai perkara itu.

Penggunaan kamera sedemikian sebagai bahan bukti di dalam mahkamah tidak sepatutnya menjadi satu isu besar kerana ia juga boleh menjadi bahan bukti yang kuat bagi menyokong sesuatu hujah dalam proses perbicaraan kes mahkamah.

Jika diteliti Akta Keterangan 1950 yang merupakan sebuah akta paling utama di negara kita yang mengawal selia proses pemberian bahan bukti dalam semua kes mahkamah, maksud bukti atau keterangan itu dinyatakan dengan jelas sekali di bawah Seksyen 3 meliputi:

BERKUALITI

(a) Segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi-saksi berhubung perkara-perkara fakta yang disiasat. Pernyataan sedemikian disebut sebagai keterangan lisan.

(b) Segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan mahkamah. Dokumen-dokumen sedemikian disebut sebagai keterangan dokumen.

Penggunaan ‘meliputi’ di dalam Seksyen 3 Akta Keterangan 1950 menunjukkan bahawa penggunaan bahan bukti dalam kes-kes mahkamah tidak hanya terpakai atau terhad terhadap penggunaan bahan bukti yang datang daripada saksi atau dokumen biasa.

Oleh itu, kita boleh menggunakan mana-mana bahan bukti yang sesuai untuk membantu dan menyokong proses perbicaraan kes mahkamah termasuklah dashcam sekiranya ia memenuhi syarat pengesahan keasliannya mengikut peruntukan Seksyen 61 hingga 66 akta berkenaan.

Penting untuk diketahui juga, selain membantu menyelesaikan kes-kes kemalangan jalan raya, penggunaan kamera sedemikian dapat membantu mengawal serta menambah baik proses pemanduan.

Walaupun kita mungkin terpaksa berbelanja lebih sedikit untuk memasang peranti ini di dalam kenderaan, namun segala manfaat yang dibawa melalui penggunaannya adalah berbaloi.

Yang paling penting, kerajaan perlu memastikan harga kamera jenis ini adalah berpatutan dan kualiti imej dirakam adalah yang terbaik. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN