Tolak Melayu utamakan Inggeris - Utusan Malaysia

Tolak Melayu utamakan Inggeris

SEMINAR dan forum di Malaysia harus menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA tertarik dengan tulisan pelajar Universiti Malaya, Koh Yok Hwa dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia pada 21 April lalu bertajuk Lebih enam dekad masih tidak fasih? yang membicarakan mengenai kesungguhan kaum Cina pada suatu ketika dahulu untuk menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bagi generasi sekarang termasuk saya, jika fakta sejarah seperti ini tidak didedahkan, maka orang ramai tidak akan tahu bahawa suatu ketika dahulu bahasa Melayu begitu ditekankan oleh pelbagai kaum di negara ini.

Ia memberikan satu kebanggaan kepada saya sebagai rakyat Malaysia yang berbahasa Melayu menerusi kesungguhan ditunjukkan oleh kaum lain untuk menguasai bahasa kebangsaan pada suatu ketika dahulu.

Namun, kesungguhan yang ditunjukkan oleh kaum Cina terhadap bahasa Melayu, tidak dilakukan oleh orang Melayu sendiri pada ketika ini.

Orang Melayu kini dilihat lebih mementingkan bahasa Inggeris, kononnya untuk mengantarabangsakan Malaysia dan dikenali dunia lalu mengabaikan aspek penting dalam menguasai bahasa sendiri.

Seeloknya, seminar dan forum yang dianjurkan oleh orang Melayu sendiri perlu mengutamakan bahasa kebangsaan berbanding bahasa lain.

Biarlah orang luar yang datang ke Malaysia teringin mempelajari bahasa kebangsaan untuk berbicara dengan orang Melayu mengenai sesuatu ilmu pengetahuan.

Misalnya, ilmu kewangan semasa. Daripada pemerhatian saya, banyak seminar yang dianjurkan menggunakan perantaraan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Ada kalanya hadirin terdiri daripada orang Melayu sahaja tetapi tetap digunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan.

TIPU

Jika ini berlaku, dikhuatiri orang Melayu yang tidak menguasai bahasa Inggeris akan lebih ketinggalan dan terpinggir untuk menguasai ilmu yang penting buat masa kini iaitu ilmu kewangan semasa.

Banyak isu penting yang berkaitan dengan kewangan semasa seperti percukaian, inflasi, kewangan Islam dan seumpamanya akan terlepas pandang oleh kebanyakan orang Melayu kerana istilah-istilah yang digunakan tidak difahami dengan baik oleh kebanyakan mereka.

Ilmu kewangan semasa dilihat hanya dikuasai oleh golongan tertentu dan agak eksklusif untuk dikongsikan dengan orang ramai.

Sedangkan orang Melayu perlu mempunyai pengetahuan yang baik dalam bidang itu bagi menguruskan kewangan harian mereka dengan berkesan dan tidak mudah ditipu oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Sekiranya inilah yang berlaku pada masa kini, dikhuatiri ilmu kewangan semasa dikuasai oleh golongan tertentu sahaja yang tidak disebar kepada orang awam secara menyeluruh.

Seterusnya untuk menguasai ilmu ini misalnya perlu menguasai bahasa Inggeris terlebih dahulu kerana tidak disebarkan secara meluas dalam bahasa Melayu.

Sepatutnya orang Melayu perlu menggunakan bahasa sendiri untuk menyampaikan ilmu kepada pelbagai kaum.

Jika seminar atau forum diadakan di Malaysia dan dihadiri oleh rakyat tempatan, sepatutnya bahasa Melayu diutamakan berbanding bahasa lain.

Ini bagi meningkatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan sendiri berbanding bahasa lain.

Semoga kita semua sebagai rakyat Malaysia lebih mengutamakan bahasa kebangsaan agar bahasa ini menjadi perantaraan untuk menyatukan pelbagai kaum.

Langkah itu akan membolehkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu yang dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat dan mengukuhkan jati diri agar lebih mencintai bahasa sendiri berbanding bahasa lain. – UTUSAN

DR. MOHD. MURSHIDI MOHD. NOOR, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya