SAUDARA PENGARANG,
STIGMA dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat terhadap pesakit Covid-19 dilihat masih wujud sehingga hari ini.
Ini menyebabkan ada individu yang bergejala bimbang untuk melaporkan status mereka kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendapatkan rawatan disebabkan takut diri mereka akan disisihkan oleh ahli keluarga serta orang sekeliling sekiranya mereka disahkan menghidap Covid-19.
Dalam hal ini, perasaan bertanggungjawab perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat. Penyebaran virus Covid-19 yang begitu pantas memerlukan setiap individu bersama-sama menanganinya.
Dari sudut permasalahan stigma dan diskriminasi, masyarakat harus menyedari bahawa kebanyakan pesakit yang menghidapi virus ini tidak mengetahui dari mana mereka memperoleh jangkitan tersebut.
Semestinya, mereka juga tidak bersedia ataupun rela untuk memperoleh jangkitan berbahaya ini. Oleh itu, tindakan menyisihkan para pesakit adalah satu perkara yang amat tidak baik dan wajar dielakkan.
Masyarakat sepatutnya memberi sokongan kepada penghidap Covid-19 kerana terdapat dalam kalangan mereka yang tidak dapat menerima hakikat dijangkiti virus itu di samping ada segelintir yang menghadapi tekanan perasaan ketika menjalani tempoh kuarantin kendiri.
Dalam hal ini, sokongan daripada ahli keluarga, rakan dan orang sekeliling amat penting dalam meningkatkan semula semangat serta motivasi pesakit untuk terus berjuang melawan virus.
Melalui sistem sokongan yang positif, pesakit akan terus bersemangat untuk terus hidup serta menjalani tempoh kuarantin sehingga tamat.
Kerajaan perlu memberikan lebih banyak kesedaran kepada masyarakat berkenaan bahaya stigma dan diskriminasi kepada pesakit Covid-19 melalui promosi dalam media massa dan kempen kesedaran. – UTUSAN
DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI & DR. NURZALI ISMAIL, Pensyarah kanan universiti