TLDM mampu tengok saja?

TLDM mampu tengok saja?

TLDM memerlukan lebih banyak aset moden termasuk menggantikan frigat yang telah berusia 23 tahun. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) baru-baru ini di Kuala Lumpur, banyak teknologi pertahanan dipamerkan.

Namun, sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), terdetik sedikit rasa terkilan dalam hati saya bahawa aset-aset itu hanya sekadar pameran.

TLDM atau perkhidmatan lain jarang dapat menggunakan aset-aset moden ini kerana kekangan belanjawan dan faktor kerajaan tidak memahami keperluan sebenar pasukan keselamatan negara.

Sebenarnya, saya sedih dan malu apabila bercakap tentang aset-aset pertahanan negara ketika ini. Saya juga ada membaca bahawa TLDM berhasrat untuk membeli tiga lagi kapal misi pesisir (LMS).

Ini merupakan langkah yang baik, namun berbanding kapal tempur pesisir (LCS) yang pembinaannya masih terbengkalai, LMS jauh lebih kecil dan mempunyai keupayaan terhad.

Sebagai pesara TLDM, saya amat memahami keupayaan LMS berbeza dengan LCS. Walaupun kita sudah mempunyai enam LMS dan akan membeli lebih banyak pada masa hadapan, tiada bilangan LMS yang mampu menyerupai keupayaan sebuah LCS.

Sememangnya, syarikat yang bertanggungjawab menyiapkan projek ini, iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) berhadapan dengan beberapa masalah dari segi integriti.

Kerajaan boleh mengambil beberapa langkah untuk memastikan perkara ini diselesaikan dan tidak berulang. Pokoknya, kepentingan negara harus diletakkan di atas segala permasalahan sedia ada. Kita harus mencari penyelesaian untuk bergerak ke hadapan.

Pada 30 Mac lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan Kabinet, Parlimen dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju projek LCS diteruskan bagi memenuhi keperluan aset TLDM.

Projek LCS sebelum ini berdepan kelewatan 39.52 peratus menyebabkan pembayaran kepada pihak pengeluar produk tulen (OEM) tidak dibuat mengikut jadual ditetapkan sehingga mengakibatkan mereka memberhentikan kerja pemasangan peralatan dalam kapal terbabit.

PERANCIS

Hishammuddin turut akan mendapat pandangan rakan sejawat dari Perancis, Florence Parly berhubung isu itu kerana projek LCS adalah berasaskan reka bentuk lebih besar korvet halimunan, Gowind dari negara berkenaan.

Ramai yang tidak mengendahkan soal pertahanan sebenarnya sehingga apabila keselamatan negara terancam. Mungkin ketika itu, semua sudah terlewat.

Tiada gunanya negara maju, kaya raya jika tidak dapat menjamin kedaulatan negara demi anak cucu kita.

Ada juga pihak yang membangkitkan, adakah teknologi yang digunakan LCS akan luput apabila ia lewat siap?

Ini adalah satu persoalan menarik dan TLDM harus menjelaskan kepada pihak yang membangkitkan persoalan ini bahawa apabila sebuah kapal tempur dibina, ia bukan dibina untuk keperluan setahun dua.

Kapal-kapal tempur dibina untuk digunakan selama lebih 20 tahun. Ada sahaja kapal tempur yang masih beroperasi walau usianya sudah lebih 30 tahun!

Seperti telefon pintar atau komputer riba, perisian teknologi kapal tempur moden hari ini boleh dikemas kini atau dinaik taraf setiap beberapa tahun.

Jadi, tidak timbul tentang teknologi yang luput akibat kelewatan menyiapkan LCS ini. Saya menyokong keputusan Kabinet untuk tidak lagi berlengah dalam menyelesaikan isu LCS.

Mulakan, bina kembali dan siapkan LCS secepat mungkin. Ketirisan perlu dihapuskan, vendor tempatan perlu diperkasa supaya mampu berjaya berkembang selari perkembangan LCS.

Perkara yang baik harus dipercepat dan dipermudah. TLDM akan lebih gagah dan perkasa jika kerajaan berani membuat keputusan segera. – UTUSAN

SUFFIAN Y, Sungai Siput, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya