Tepuk dada tanya selera elak boros - Utusan Malaysia

Tepuk dada tanya selera elak boros

Bazar Ramadan sering menjadi pilihan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDAR PENGARANG,

MENJALANI Ramadan dalam tempoh pandemik Covid-19 banyak mengajar kita untuk bersederhana. Kebanyakan pengguna memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa, atau jika tidak sekalipun mereka memesan makanan secara dalam talian.

Ramadan kali ini memberikan kelegaan kerana tiada lagi sekatan dikenakan selepas negara diisytiharkan memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu. Fasa ini merupakan strategi keluar untuk kembali kepada kehidupan yang hampir normal.

Tidak dapat dinafikan kemeriahan Ramadan kali ini lebih terasa dengan adanya aktiviti perniagaan di bazar Ramadan. Namun begitu, pengguna perlu pandai mengawasi tingkah laku bukan hanya kerana khuatir virus Covid-19 tetapi bagi menjalani bulan mulia ini tanpa menurut nafsu semata-mata.

Prinsip paling penting dalam menjalani puasa adalah bersederhana. Namun, kerap kali amalan ini dikhuatiri tidak dilaksanakan di bulan Ramadan. Malah, boros berbelanja, membazir makanan dan makan secara berlebihan ibarat sudah menjadi kebiasaan.

Bukan sahaja dari segi makanan, juga melibatkan pembaziran ketika persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga mudah terperdaya dengan kempen jualan murah yang hanya bertujuan mengaut untung.

Dilaporkan penghasilan sampah sarap meningkat hampir 10,000 ke 15,000 tan sehari pada bulan Ramadan setiap tahun, kebanyakannya daripada pembaziran makanan.

Amalan boros rakyat Malaysia ketika berpuasa juga sering kali dikaitkan dengan kesanggupan mereka mencuba makanan di tempat-tempat eksklusif seperti hotel dan restoran mewah. Tambahan pula, banyak sekali tawaran bufet diiklankan dengan gambar-gambar makanan yang begitu menyelerakan. Akibatnya, ramai yang gelojoh mencuba bermacam-macam juadah sehingga menjadi terlalu kenyang dan terlepas melakukan ibadat solat sunat tarawih.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Berapa banyak orang berpuasa yang tiada apa yang dapat daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibnu Majah). Jadi, tepuk dada tanya selera.-UTUSAN

DR. ZALINA ZAKARIA
Pengarah Pusat Kajian Halal dan Pensyarah Kanan Jabatan Syariah & Undang-Undang
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya