Tentera Myanmar berbelanja lebih banyak daripada kita - Utusan Malaysia

Tentera Myanmar berbelanja lebih banyak daripada kita

KAPAL tempur pesisir (LCS) sememangnya aset yang amat diperlukan oleh TLDM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK berdekad lagi kemampuan Malaysia untuk mempertahankan perairan negara dengan aset sedia ada menjadi tanda tanya.

Mempunyai pantai sepanjang ribuan kilometer dan Laut China Selatan yang cukup luas untuk kita ronda dan awasi, memang aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak mencukupi. Kekangan kewangan adalah salah satu punca masalah ini.

Dalam tempoh 10 tahun dari 2010 hingga 2020, perbelanjaan Malaysia untuk aset ketenteraan hanya AS$1.426 bilion (RM5.98 bilion).

Jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, Malaysia hanya menduduki tempat keenam.

Menurut data Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), dalam tempoh itu, Vietnam membelanjakan RM28.78 bilion, Singapura (RM24.84 bilion), Indonesia (RM22.91 bilion), Thailand (RM12.21 bilion) dan Myanmar (RM11.33 bilion).

Sebagai seorang bekas anggota TLDM, saya cukup gembira kerana kerajaan melihat masalah tersebut secara serius apabila Kabinet baru-baru ini memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

TLDM sedikit masa lagi akan dapat menggunakan aset yang moden itu untuk menjamin keselamatan negara bagi masa depan yang mungkin memberi pelbagai cabaran.

Keputusan itu jelas menunjukkan kerajaan mengutamakan sekuriti maritim kerana LCS sememangnya aset yang amat diperlukan oleh TLDM. Tahniah diucapkan kepada Kabinet, terutama Kementerian Pertahanan.

Adalah penting untuk kita meningkatkan kesiapsiagaan armada tentera laut bagi memelihara kepentingan maritim negara. Ia juga merupakan satu langkah strategik untuk menjamin keselamatan negara.

Keputusan Kabinet ini pasti meningkatkan lagi moral dan semangat anggota TLDM untuk terus berjuang demi kedaulatan tanah air.

Mungkin ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan ini tetapi mereka wajar diingatkan sekali lagi bahawa perbelanjaan pertahanan kita sangat sedikit malah Myanmar berbelanja lebih banyak daripada kita.

PENONTON

Ketiadaan kapal laut berteknologi canggih dan berkesan seperti LCS hanya akan menyebabkan TLDM jauh ketinggalan berbanding angkatan laut negara-negara lain.

Kita sering dengar tentang pencerobohan kapal asing terutama di Laut China Selatan serta aktiviti ketenteraan yang kian meningkat di perairan ini.

Dengan Amerika Syarikat dan China kian bercanggah pendapat dalam pelbagai isu, Laut China Selatan menjadi medan pertarungan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing.

Dalam keadaan ini, adakah kita hanya akan berdiam diri dan menjadi penonton? Adakah kita mempunyai kekuatan tentera untuk mempertahankan kedaulatan negara?

Konflik Rusia-Ukraine juga perlu diambil sebagai satu iktibar untuk kita mempunyai angkatan tentera yang kuat.

Keputusan untuk meneruskan perolehan LCS ini juga sedikit sebanyak akan membantu negara dalam memperbaiki kekuatan tentera laut kita.

Tanpa perolehan aset moden seperti LCS, TLDM terpaksa menggunakan aset yang tidak sesuai dari segi umur, jenis dan keupayaan kapal.

Saya juga maklum tentang hasrat TLDM membeli tiga lagi kapal misi pesisir (LMS). Ini merupakan langkah yang baik tetapi berbanding LCS, kapal LMS jauh lebih kecil dan mempunyai keupayaan terhad.

Sebagai bekas anggota TLDM, saya memahami keupayaan LMS amat berbeza dengan LCS yang jelas mempunyai peranan yang lebih besar dalam strategi ketenteraan.

Ia bakal digunakan selama lebih 20 tahun dan boleh dinaik taraf untuk melanjutkan tempoh pengoperasiannya.

Dengan adanya LCS ini, TLDM akan dapat memainkan peranannya dengan penuh bangga dan efektif. – UTUSAN

ABDUL WAHID, Setiawangsa, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN