Tanam gandum secara agresif - Utusan Malaysia

Tanam gandum secara agresif

PENGGUNAAN gandum di Malaysia yang diimport dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada pada 2021 adalah sebanyak 1.6 juta tan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RUSIA dan Ukraine membekalkan kira-kira 30 peratus daripada jumlah eksport gandum dan 19 peratus eksport jagung di pasaran antarabangsa.

Jika pengeluaran bijirin ini terjejas oleh peperangan dan sekatan ekonomi, maka kekurangan bahan itu akan menyebabkan peningkatan harga secara mendadak.

Walaupun Malaysia tidak mengimport gandum dan jagung secara terus dari Ukraine dan Rusia tetapi negara pengeluar lain sudah pasti akan menaikkan harga bijirin terbabit ekoran kekurangan bekalan global setelah berlaku konflik Rusia-Ukraine.

Penggunaan gandum di Malaysia yang diimport dari Australia, Amerika Syarikat dan Kanada pada 2021 adalah sebanyak 1.6 juta tan.

Kita juga mengimport 3.8 juta tan jagung setahun untuk dijadikan sebagai sumber penting dalam makanan haiwan ternakan.

Pada masa ini, hampir semua jagung diimport dari Brazil dan Argentina manakala hanya 10 peratus daripada sumber tempatan.

Oleh itu, sudah sampai masa Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mencari varieti gandum yang sesuai ditanam di Malaysia.

Pusat Penyelidikan Pertanian Antarabangsa di Kawasan Kering (ICARDA) telah menghasilkan dua varieti gandum jenis ‘durum’ bernama Haby dan Amina yang boleh hidup di kawasan melebihi suhu 37 darjah Celsius. Gandum jenis ini berjaya ditanam di Senegal, Mauritania, Mali dan Guinea.

Kenapa MARDI tidak membawa masuk varieti gandum berkenaan bagi ditanam secara percubaan di Malaysia untuk dilihat ia boleh hidup atau tidak?

Dalam pada itu, aktiviti penanaman jagung di negara ini yang sudah berjalan perlu ditingkatkan lagi secara agresif.

Jabatan Pertanian harus membuat kajian sama ada jagung boleh ditanam di antara pokok kelapa sawit di kebun-kebun milik penduduk.

Tanah kosong kerajaan dan yang dimiliki oleh syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) harus dipajak kepada petani untuk ditanam jagung. – UTUSAN

MINAH KARAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya