Syor dokumen sementara kanak-kanak tanpa negara

Syor dokumen sementara kanak-kanak tanpa negara

KERAJAAN perlu mempertimbangkan pengeluaran dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU kanak-kanak tanpa warganegara atau berstatus bukan warganegara telah lama berlaku sejak dahulu lagi. Semakin ramai warga asing tidak memiliki dokumen sah termasuk yang telah berkahwin tanpa prosedur tinggal di negara ini.

Permasalahan ini berlanjutan sehingga kini tanpa penyelesaian dan mengakibatkan kesan besar kepada individu terbabit termasuklah berlakunya pencabulan kepada kewarganegaraan. Dan individu tanpa kewarganegaraan ini sering terdedah kepada pencabulan hak asasi manusia yang lain.

Kami di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berpendapat sekiranya kerajaan memerlukan kajian lanjut dan masa dalam memberikan dokumen khas kepada individu dewasa bukan warganegara, maka pertimbangkanlah memberi dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara.

Dengan dokumen sementara tersebut, sekurang-kurangnya kanak-kanak tanpa warganegara layak bersekolah dan mendapat pendidikan awal serta jagaan kesihatan yang sepatutnya.

Baru-baru ini juga, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd. Awal memohon kerajaan agar negeri-negeri lain untuk mengikut jejak langkah kerajaan Sarawak yang mengeluarkan dokumen sementara kepada kanak-kanak tanpa warganegara dalam memastikan pihak berkepentingan dalam hal ehwal pendidikan dan kesihatan mengiktiraf dokumen sementara.

Selain itu, pemberian dokumen sementara tersebut juga perlu diberikan kepada anak tidak sah taraf yang sebahagiannya berpunca daripada tindakan ibu bapa mereka yang gagal mendaftarkan perkahwinan atau tidak mempunyai sijil nikah.

Di sesetengah tempat, mereka dahulunya berkahwin mengikut adat tersendiri dan kurang menitikberatkan kepentingan bagi mendaftarkan perkahwinan di pejabat kerajaan.
Seterusnya, kami berharap agar pengeluaran dokumen sementara kepada kanak-kanak tersebut pada masa akan datang tidak hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak tetapi di negeri-negeri di Semenanjung.-UTUSAN

TAN SRI MUSA HASSAN
Penasihat Pertubuhan Kemanusiaan
Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN