Sekarang bulan lebih utama sedekah - Utusan Malaysia

Sekarang bulan lebih utama sedekah

PEMBERIAN sedekah dapat memelihara seseorang di dunia dan akhirat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PUJIAN dan syukur kepada Allah SWT kerana kita dapat menjalani puasa Ramadan pada kali ini serta diberikan kesihatan yang baik bagi meneruskan ibadah itu.

Disebutkan di dalam kitab Tanbihul Ghafilin, betapa besar keutamaan Ramadan jika dibandingkan bulan-bulan lain. Sahabat Nabi SAW, Sayidina Umar al-Khattab orang yang paling gembira dengan kedatangan Ramadan.

Hal demikian diceritakan oleh Abul Laits Samarqandi daripada Umar al-Khattab sendiri antaranya yang disebutkan ialah:

“Ramadan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya dan bersedekah dalam bulan ini nilainya sama dengan kita membelanjakan orang yang berjihad di jalan Allah”.

Ramadan juga dinamakan bulan sabar, bantuan dan pertolongan. Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa, baginya akan mendapat ganjaran pahala berlipat ganda.

Ramadan adalah bulan yang ditambahkan rezeki kepada orang yang beriman dan bulan bagi mendapatkan keampunan.

Inilah bulan yang dianggap lebih afdal untuk mereka yang mahu bersedekah atau untuk menumpangkan harta atau hasil pendapatan bulanannya di rumah fakir miskin, pusat kebajikan anak-anak yatim, madrasah tahfiz dan sebagainya.

Di dalam sebuah hadis Nabi SAW juga bersabda “Sebaik-baik bersedekah adalah di bulan Ramadan”. Hidup adalah satu perkongsian.

Rezeki yang dikongsi amat diberkati bahkan ajaran syariat Islam tidak pernah menghalang mengumpulkan wang atau harta yang menimbun.

Namun, apa yang menjadi salah seperti kata pesanan cendekiawan ialah jangan bawa harta tersebut sendiri kerana segala harta tidak akan dapat membantu seseorang itu apabila jasadnya telah kaku terbujur kerana anak-anak atau ahli keluarga hanya dapat menyediakan kain putih dan papan keranda sahaja.

Justeru, jadikanlah bulan ini untuk kita berkongsi rezeki dengan orang lain dan teruskan berpuasa supaya menjadi umat yang kuat dan terpelihara yakni selamat di dunia dan akhirat di samping selamat daripada kemurkaan Allah SWT.

Mudah-mudahan segala amal ibadah puasa sepanjang Ramadan diterima dan mendapat takwa. – UTUSAN

MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN