Rawatan pergigian tidak batal puasa - Utusan Malaysia

Rawatan pergigian tidak batal puasa

SELAGI mana pesakit tidak tertelan apa-apa semasa rawatan gigi, puasa adalah sah. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASIH terdapat pesakit yang ragu-ragu untuk mendapatkan rawatan pergigian ketika Ramadan kerana khuatir akan membatalkan puasa.

Seperti dinyatakan dalam Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), prosedur rawatan pergigian seperti tampalan, cuci gigi, cabutan, pengambilan sinar-X dan acuan gigi tidak membatalkan puasa.

Suntikan bius setempat untuk cabutan gigi atau rawatan gusi juga tidak membatalkan puasa kerana suntikan tidak melalui rongga terbuka dan tidak sampai ke dalam perut.

Sapuan ubat krim kebas pula hanya melibatkan kawasan setempat dan tidak membatalkan puasa.

Akan tetapi sekiranya tertelan air liur yang bercampur dengan krim kebas atau bahan-bahan lain dengan sengaja, puasa akan terbatal.

Selain itu, terdapat juga keraguan dalam kalangan pesakit mengenai air yang keluar dari alatan tangan bermotor sewaktu rawatan cuci atau tampalan gigi.

Usah khuatir, air suling yang keluar dan terkumpul di dalam mulut akan disedut secara berterusan oleh alat penyedut khas.

Dari sudut penjagaan kesihatan gigi pula, agama Islam amat menitikberatkan kebersihan mulut sama ada sewaktu berpuasa mahupun hari biasa.

Aktiviti penjagaan kebersihan mulut seperti memberus gigi, flos dan berkumur menggunakan ubat kumur sama sekali tidak membatalkan puasa dengan syarat tidak tertelan.

Justeru, kita semua digesa untuk meneruskan amalan penjagaan gigi yang optimum, lebih-lebih lagi sewaktu berpuasa kerana mulut senang kering dan boleh menyebabkan bau kurang menyenangkan. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. NOR AZLIDA MOHD. NOR & PROF. MADYA DR. SYARIDA HASNUR SAFII, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya