Ramai tidak mengenali seni diiktiraf UNESCO - Utusan Malaysia

Ramai tidak mengenali seni diiktiraf UNESCO

YOGYAKARTA bukan sahaja terkenal dengan keindahan Gunung Merapi tetapi juga kepelbagaian seni dan budaya penduduknya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2020, kita berbangga bahawa pantun berjaya dimasukkan dalam kategori Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, secara pencalonan bersama oleh Malaysia dan Indonesia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, pada masa itu berkata, pengiktirafan berkenaan menjadikan jumlah warisan kebudayaan tidak ketara negara yang tersenarai di bawah senarai itu kepada lima iaitu kali pertama pada 2005 menerusi pengiktirafan makyung, dondang sayang (2018) silat (2019) dan kini wangkang serta pantun (2020).

Di negara jiran, seperti Indonesia dan Thailand, ekonomi jingga (seni dan budaya) adalah pemacu ekonomi yang sangat besar dan merupakan penyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lima hingga tujuh peratus.

Ekonomi jingga bukan sekadar seni dan budaya malah turut melibatkan penerbitan kandungan seperti animasi, filem, drama, fesyen dan banyak lagi elemen lain yang berkait dengan kreativiti.

Kita perlu bergerak dengan kerjasama kementerian berkaitan, agensi kerajaan dan pengusaha seni dan budaya untuk memacu ekonomi jingga supaya menyumbang lebih daripada dua peratus kepada KDNK.

Kementerian Pendidikan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang seni dan budaya di semua peringkat dari tadika ke universiti.

Ini termasuk kesusasteraan, seni visual, muzik tradisional, persembahan budaya teater dan tarian serta bermacam-macam lagi.

Di Indonesia, dari pihak pentadbiran kerajaan hingga pengusaha kecil budaya, mereka begitu serius dalam mempertahankan budaya dan menjadikannya sebagai penyumbang pendapatan kepada ekonomi jingga.

Beberapa tahun lalu, Pak Kipar, seorang penarik beca yang membawa saya ke sana ke mari seluruh pelusuk Yogyakarta telah membuka mata saya pada keindahan bandar itu di waktu pagi, melalui jalan batu kecil di celah kawasan vila indah serta menikmati keindahan pemandangan Gunung Merapi.

Dialah yang menunjukkan saya kedai barangan perak, seni dan batik terbaik di situ. Pak Kipar sentiasa berkongsi kisah-kisah di Yogyakarta, cintanya pada budaya dan tempat asalnya.

Ketika kami tiba di House of Puppet Masters di pekarangan Keraton Yogyakarta, terdapat ceramah wayang kulit sedang berlangsung dengan tetamu dari negara-negara Afrika dan Jepun.

aya dapat mendengar lebih baik ketika kami masuk dan terkejut ceramah itu dikendalikan dalam bahasa Perancis dan Jepun.

Rupa-rupanya, pihak penganjur berazam memperkenalkan wayang kulit dalam seberapa banyak bahasa yang mungkin. Pak Ari kemudian keluar untuk menyambut kami dan kami pun berbual.

Katanya: “Budaya mendahului segalanya. Dengan budaya, kita menguatkan jati diri dan identiti. Budaya adalah pengikat yang menyatukan kami semua.

“Jika kita tidak bersatu hati dan mempunyai kekuatan jati diri, bagaimana kita hendak melakukan apa-apa? Agama kita mungkin berlainan, tetapi budaya adalah kepunyaan kita semua.”

Perbualan ini membawa saya menghimbau kembali pada keadaan kita di Malaysia. Defisit seni dan budaya melemahkan identiti kebangsaan kita semua.

Anak-anak Malaysia rata-rata, tidak mengenali gamelan, tarian zapin, asyik atau keindahan mek mulung, malah makyung, kesenian kita yang diberi pengiktirafan oleh UNESCO.

Sebenarnya, banyak manfaat boleh diperoleh daripada pembangunan seni dan budaya kerana ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat. Barulah kita boleh membina negara yang hebat dan bertamadun. – UTUSAN

NINOT AZIZ, Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya