Ramadan masa sesuai berhenti merokok - Utusan Malaysia

Ramadan masa sesuai berhenti merokok

RAMADAN ialah bulan yang sesuai untuk melatih diri berhenti merokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH masuk minggu kedua umat Islam berpuasa di bulan Ramadan. Sempena bulan mulia ini umat Islam bukan sahaja mengejar ganjaran pahala dengan ibadah dan beramal tetapi marilah merebut peluang keemasan ini untuk berhenti merokok.

Puasa merupakan satu latihan yang amat berfaedah khususnya untuk mengatasi pergantungan akibat merokok. Ini terbukti kerana semasa berpuasa ramai yang dapat menahan diri daripada merokok.

Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Di samping menahan lapar dan dahaga di siang hari, ambilah peluang untuk ‘puasa’ bersungguh-sungguh di malam hari dengan tidak menghisap rokok selama sebulan.

Ramadan adalah bulan terbaik khususnya buat perokok yang mahu mengambil kesempatan untuk berhenti merokok.

Ini kerana mereka sebenarnya telah berjaya menahan daripada ketagihan merokok lebih daripada 12 jam. Jadi, tidak susah untuk berhenti merokok selagi ada kemahuan.

Kemudian, amalan ini digalakkan untuk diteruskan dengan berpuasa sunat enam Syawal dan sekiranya mampu boleh teruskan untuk berpuasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis.

Insya-Allah melalui cara ini dapat mendidik orang ramai untuk berhenti menghisap rokok disamping meningkatkan tahap kesihatan. Yang paling penting dapat melipatgandakan pahala.

Umat Islam juga perlu ingat, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 pada 1995 memutuskan merokok adalah haram kerana padanya terdapat kemudaratan.

Fatwa pengharaman merokok telah lama dikeluarkan oleh majlis tersebut, iaitu sudah lebih 20 tahun dan masih kekal sehingga sekarang.

Justeru, perokok yang mahu berhenti merokok perlu kuatkan azam dan sedaya upaya menjauhi rokok ketika bersahur, berbuka atau pada waktu malam.

Elakkan juga berjumpa dengan rakan yang menghisap rokok. Cara ini mungkin dapat membantu dan memudahkan anda untuk berhenti merokok. – UTUSAN

MOHD. KASTURY ABDULLAH, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya