SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan pada 10 Mac lalu bahawa kementeriannya sedang menapis permohonan kemasukan 200,000 pekerja asing Bangladesh.
Difahamkan jumlah permohonan rakyat negara itu sekarang meningkat melebihi 300,000 orang.
Langkah mengambil pekerja asing dari sebuah negara sahaja iaitu Bangladesh dalam jumlah yang sangat besar berisiko menimbulkan kesan tidak diingini dalam aspek sosioekonomi dan keselamatan.
Pekerja Bangladesh baharu bakal meningkatkan secara mendadak jumlah rakyat negara itu di Malaysia jika dicampur bilangan yang sudah berada di sini dan juga mereka yang membuat permohonan di bawah Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Lihat di sekeliling kita, pekerja asing dari negara itu sudah mendominasi kilang dan tapak pembinaan. Restoran, premis perniagaan dan hotel juga ramai pekerja Bangladesh.
Permohonan baharu pekerja Bangladesh itu akan melibatkan semua sektor. Adakah pada masa akan datang sektor perladangan, pertanian, restoran, runcit, servis dan hotel akan turut dikuasai pekerja dari negara itu?
Rakyat Bangladesh yang awal dahulu masuk menggunakan permit kerja, ada dalam kalangan mereka sudah mempunyai perniagaan sendiri yang maju walaupun hanya bergantung kepada pelanggan rakyat senegara.
Jika lebih ramai pekerja Bangladesh dibawa masuk, maka makin bertambah maju perniagaan warga asing ini dan mereka boleh membuka cawangan baharu di negeri lain yang mempunyai ramai rakyat senegara.
Asal buruh, sekarang warga Bangladesh sudah jadi peniaga, tauke, subkontraktor dan pengusaha ladang.
PEMANGSA
Orang kita seperti biasa, selesa goyang kaki sambil mengira sewa bulanan yang diperoleh.
Imigran Bangladesh kuat daya survival hidup untuk berjaya. Kita ibaratkan mereka sebagai ikan pemangsa agresif yang datang ke negara ini.
Lambat laun orang tempatan yang sudah selesa kerana cukup makan akan ‘ditelan’. Ini yang sedang berlaku.
Kemasukan ramai pekerja asing baharu akan menyempitkan peluang rakyat tempatan untuk mendapat pekerjaan dan berniaga. Pihak yang kaya hanyalah ejen yang membawa mereka masuk ke Malaysia.
Bagi mengatasi isu ini, saya mencadangkan pertama, ditetapkan had siling untuk bilangan pekerja asing yang berada dalam negara supaya tidak boleh melepasi ambang tertentu. Sebagai contoh, 500,000 orang dalam satu-satu masa.
Kedua, jangan bergantung kepada bekalan buruh dari satu atau dua negara sahaja dan dalam jumlah terlalu tinggi hingga melebihi bilangan etnik minoriti di Malaysia.
Ketiga, ambil pekerja dari negara berkongsi sempadan darat dengan Malaysia seperti Selatan Thailand dan Kalimantan, Indonesia.
Selain faktor bahasa dan budaya hampir serupa, mereka mudah dihantar balik jika permit tamat tempoh atau berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kelebihan mengambil pekerja dari negara jiran yang dekat adalah bila cuti perayaan mereka mudah pulang ke kampung dengan menaiki bas, kereta api dan feri berbanding pekerja dari Asia Selatan yang tidak pulang sebaliknya berhimpun beramai-ramai di tengah kota bila tiba cuti umum.
Berbeza dengan Bangladesh, Nepal dan Pakistan, mungkin sekali dua sahaja kerajaan mereka hantar pesawat untuk membawa balik rakyat sendiri. Baki beribu lagi tinggal dan makan percuma di pusat tahanan imigresen. – UTUSAN
MOHD. ZUL, Kuala Lumpur