PPA galak tubuh NGO pengguna

PPA galak tubuh NGO pengguna

PERSATUAN Pengguna Antarabangsa (PPA) menggalakkan orang ramai menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kepenggunaan melalui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Pengguna Antarabangsa (PPA) yang beribu pejabat di Haque, Belanda merupakan pusat hal ehwal pengguna dunia. Ia adalah sebuah badan bebas, tidak mencari untung dan tidak bercorak politik.

Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi nasihat yang objektif dan tidak berat sebelah sekali gus membantu pengguna membelanjakan wang dengan berkesan.

Selain itu, persatuan ini juga menyebarkan ilmu pengetahuan mengenai penggunaan dan menasihati pemerintah mengenai perkara melibatkan pengguna.

Sementara persatuan pengguna di Malaysia ditubuhkan untuk membela rakyat dalam hal konsumerisme. Ada yang bergiat bersungguh-sungguh, ada yang senyap.

Yang paling berjaya ialah Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan saya lihat mereka berusaha memperbaiki mutu barang, perkhidmatan serta nilai hidup demi kepentingan pengguna.
Persatuan Pengguna Selangor dan CAP adalah sebahagian daripada PPA.

Satu perkara boleh dibanggakan ialah Naib Presiden PPA merupakan warganegara Malaysia, iaitu Syed Adam Al-Jafri, seorang pejuang pengguna yang terkemuka.

Antara kegiatan PPA ialah mengadakan persidangan sedunia pada setiap dua tahun, di samping menganjurkan simposium atau seminar untuk merapatkan hubungan di antara pengguna profesional serta pakar pengguna dari merata dunia.

Mereka juga mempunyai wakil tetap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa lain.

Dalam masa sama, PPA menerbitkan risalah dan majalah (termasuk IOCU Newsletter), majalah tri bulanan (International Consumer), rencana dan risalah mengenai badan-badan pengguna di merata dunia.

Antara kegiatan-kegiatan PPA pula ialah memperkembangkan kerjasama di antara badan-badan pengguna antarabangsa, menerangkan mengenai undang-undang dan ekonomi, menggalakkan perbincangan, mewakili kepentingan pengguna di peringkat antarabangsa melalui Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sebagainya.

PPA juga menggalakkan penubuhan pertubuhan pengguna dengan memberi nasihat dan keterangan kepada orang perseorangan yang mengambil berat dan berminat. Ini banyak dilakukan di negera-negera sedang membangun.-UTUSAN

BULBIR SINGH
Bekas Presiden
Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN