SAUDARA PENGARANG,
PEMECATAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 telah mencetuskan gerakan reformasi.
Gerakan tersebut kemudiannya telah melahirkan sekurang-kurangnya dua perikatan parti politik pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan yang bertindih (Gerak dan Gagasan) dan diikuti pula oleh Adil seterusnya pembentukan Parti Keadilan Nasional (Keadilan).
Semangat dari gerakan ini kemudiannya melahirkan satu perikatan parti-parti politik pembangkang iaitu Barisan Alternatif. Kelahiran Barisan Alternatif menunjukkan berlakunya kedinamikan kesedaran baharu dalam kehidupan politik di Malaysia.
Anwar mempunyai aura yang cukup baik dalam menyatukan gabungan parti-parti politik pembangkang.
Ini terbukti apabila langkah pemimpin yang berkuasa menyingkir seorang pemimpin lain amat kecil kemungkinannya untuk melahirkan krisis dan penentangan politik yang berpanjangan.
Keadilan yang kini dikenali sebagai PKR menjadi satu-satunya parti politik yang selari dengan kemajmukan masyarakat Malaysia.
Ini kerana kebanyakan parti yang ditubuhkan hanya berlandaskan perjuangan kepentingan sesuatu kumpulan etnik atau agama sahaja.
Meskipun DAP dan Pas dikatakan turut membuka pintunya kepada kaum lain, namun dominasi sesuatu kaum dalam saf kepimpinan tertinggi parti tersebut menyebabkan ia dianggap sebagai parti yang berlandaskan kaum.
Sekiranya gabungan pembangkang mahu kembali mencabar kebangkitan UMNO-Barisan Nasional (BN), maka PKR adalah parti yang paling layak menerajui pakatan tersebut.
Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) jelas menunjukkan bahawa logo PKR lebih diterima oleh pengundi berbilang kaum berbanding lambang parti-parti pembangkang lain seperti DAP meskipun kerusi DAP lebih banyak berbanding parti pembangkang lainnya di Parlimen.
PKR harus menerajui gerak kerja kempen dan juga penentuan agenda parti politik pembangkang dalam menghadapi PRU15.-UTUSAN
DR. ILYAS ABDULLAH
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM Pahang) Kampus Raub