SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAIMANA sedia maklum, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen sejak 64 tahun lalu.
Sayangnya, sistem ini disalah guna oleh segelintir pemimpin politik bagi merangkul kuasa, bukannya untuk kebaikan serta perjuangan bangsa dan negara.
Ini terutama dilakukan pihak pembangkang yang jelas lagi nyata berebut kuasa tidak kira dalam parti mahupun kerajaan sejak 22 bulan memerintah sehingga hari ini.
Perjuangan mereka terbukti tersasar dan kerana gagal melakukan perubahan ketara ketika menjadi kerajaan, begitu kerap membuat andaian yang memburukkan parti lain.
Contohnya, Parti Pejuang Tanah Air pernah mengatakan semua parti politik dalam negara kotor, namun menjalin pula kerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
Selain itu, Naib Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pernah mendakwa Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anak-anaknya mempunyai beratus-ratus buah syarikat dengan nilai berbilion ringgit sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi ketika Dr. Mahathir bersama PH, tuduhan tersebut terus terkunci.
Dahulu juga pembangkang pernah mengatakan negara akan bankrap atau muflis atas sebab-sebab tertentu tetapi keadaan negara dilihat seperti biasa walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan banjir besar baru-baru ini.
Di sini juga jelas memperlihatkan pembangkang gemar mencari jalan untuk menjatuhkan pihak lain semata-mata demi kuasa.
Sikap sebegini tidak menguntungkan rakyat. Oleh itu, perjuangan politik perlu kembali diletakkan di ‘tempat’ yang sebenar bagi mengangkat nama negara, agama, bangsa dan memberi kelebihan kepada rakyat.-UTUSAN
BAHARUDDIN SAMEK
Muar, Johor.