Nasihat pakar kewangan dah basi - Utusan Malaysia

Nasihat pakar kewangan dah basi

DIANGGARKAN perbelanjaan setiap keluarga di negara ini meningkat sehingga 30 peratus pada tahun ini akibat kenaikan harga barang. – GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH dua tahun tidak dapat pulang meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman akibat sekatan pergerakan susulan pandemik Covid-19, kini rata-rata orang ramai teruja dan tidak sabar untuk meleraikan kerinduan tersebut.

Namun di sebalik kegembiraan, peruntukan perbelanjaan untuk musim raya kali ini dijangka naik dengan drastik susulan peningkatan harga barangan. Dianggarkan perbelanjaan setiap keluarga meningkat sehingga 30 peratus.

Jika dihimbau pada dekad-dekad sebelum ini, harga barangan akan melonjak naik sebaik sahaja tiba musim perayaan tertentu. Namun, kini kenaikan berlaku hampir setiap bulan.

Pakar kewangan seperti biasa akan menasihatkan orang ramai agar membuat perancangan perbelanjaan dengan teliti iaitu membeli mengikut keperluan dan sepadan dengan pendapatan masing-masing.

Bagi rakyat marhaen yang terkesan dengan harga barangan semakin tinggi nasihat-nasihat sedemikian sudah dianggap basi dan tidak relevan lagi kerana mereka sememangnya sudah berusaha sehabis daya untuk berjimat cermat.

Akhir tahun lalu, kenaikan harga barang dikaitkan dengan aktiviti rentas negeri. Persoalannya, apa rasional pembukaan semua sektor ekonomi dengan peningkatan harga barang mendadak?

Adakah ia sengaja dijadikan peluang oleh pihak-pihak berkepentingan bagi menampung kerugian yang ada dengan membebankan masalah mereka kepada pengguna?

Malah, ketika banjir melanda tidak lama dahulu, kenaikan harga barang turut dikaitkan dengannya namun setelah banjir surut, harga barang tidak pula turun.

AYAM

Kenaikan harga barang adalah isu lama yang sehingga kini masih gagal dicari formula untuk mengatasinya.

Pelbagai langkah dilakukan oleh kerajaan seperti memantau, memberi amaran keras serta mengenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 namun keberkesanannya masih belum begitu menyeluruh.

Isu harga ayam misalnya, saban tahun tidak pernah menemui jalan penyelesaian. Sebilangan besar peniaga yang didenda pula enggan mendedahkan nama pemborong kerana bimbang tidak mendapat bekalan jika mendedahkannya kepada pihak berkuasa.

Mahu tidak mahu, peniaga akhirnya terpaksa berhadapan dengan tekanan sama ada daripada pemborong atau pengguna sendiri.

Apa yang pasti, dalam isu harga ayam sama ada peniaga, pemborong atau penternak, mereka akan sentiasa mengaku menanggung rugi walaupun dalam keadaan ekonomi semakin pulih manakala di pihak pengguna pula hanya dinasihatkan supaya lebih bersedia menerima keadaan.

Dalam pada itu, ramai yang tidak sedar bahawa nilai ringgit telah merosot sejak sedekad lalu bermula 2012 dan sehingga kini masih belum ada tanda-tanda pengukuhan.

Justeru, untuk menyalahkan penternak semata-mata kerana menaikkan harga ayam adalah tidak adil. Mereka membeli makanan haiwan yang diimport dengan harga yang mahal.

Secara kasarnya, apabila nilai mata wang jatuh, segala-galanya akan menjadi lebih mahal secara automatik.

Kita akan terus ketinggalan di belakang negara-negara jiran dalam aspek mewujudkan kehidupan yang sejahtera untuk rakyat jika masalah harga barang terus berpanjangan dan tiada jalan penyelesaian. – UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN