SAUDARA PENGARANG,
DAGING ayam adalah sumber protein haiwan yang penting dan popular dalam kalangan penduduk berbilang etnik di negara ini.
Malaysia merupakan antara negara pengguna daging ayam tertinggi di dunia dengan penggunaan per kapita tahunan 46.8 kilogram (kg.) dan dijangka mencapai 50 kg. menjelang 2025.
Ini menunjukkan penggunaan daging ayam per kapita tahunan Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di dunia dan yang pertama di Asia.
Oleh itu, tidak hairanlah tahap sara diri bagi daging ayam yang mencukupi merupakan antara agenda penting dalam Dasar Agro Makanan Negara 1.0 dan 2.0.
Pertambahan penduduk menyebabkan peningkatan permintaan terhadap daging ayam kerana ia merupakan salah satu sumber protein termurah untuk semua peringkat pendapatan terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Namun, harga ayam yang murah hanyalah tinggal kenangan kerana harga ayam memperlihatkan trend peningkatan berterusan bermula dari Mac sehingga September 2021.
Harga runcit ayam proses standard telah pun melepasi paras RM9 sekg. apabila mencecah RM10 pada awal September 2021.
Keprihatinan kerajaan menyebabkan harga ayam diturunkan dan kini harga runcit maksimum ayam standard adalah RM8.90 sekg di mana harga runcit baharu ini disubsidi oleh kerajaan sehinggalah kos pengeluaran menjadi lebih stabil.
Mengapakah kos pengeluaran ayam meningkat? Lebih 65 peratus daripada kos pengeluaran ayam melibatkan kos makanan ayam.
Hampir empat juta tan jagung serta soya yang digunakan sebagai makanan ayam diimport setiap tahun oleh Malaysia. Kedua-dua sumber protein ini diimport terutama dari Brazil dan Argentina.
Bagaimanapun, penuaian komoditi jagung serta soya di kedua-dua negara ini menunjukkan penurunan disebabkan oleh kemarau berterusan sehingga menyebabkan harga meningkat.
Menurut Gabungan Persatuan Peladang Ternakan Malaysia (FLFAM), jagung dan soya yang digunakan sebagai makanan ayam meningkat sekurang-kurangnya 40 peratus dalam tempoh setahun lalu.
BURUH
Harga minyak kelapa sawit yang ditambah kepada makanan ternakan juga meningkat sebanyak 43.3 peratus daripada RM3,000 kepada RM4,300 setiap tan dalam tempoh sama.
Selain kos makanan ayam, industri ini turut berhadapan dengan peningkatan kos buruh. Memang tidak dapat dinafikan bahawa industri ayam adalah berintensifkan buruh.
Kos operasi ladang ayam telah meningkat semasa pandemik Covid-19. Pekerja ladang perlu hadir secara fizikal dan pandemik telah menjejaskan kehadiran mereka ke ladang.
Adalah tidak mampan bagi Malaysia untuk terus bergantung kepada bahan mentah yang diimport bagi menghasilkan makanan ayam.
Beberapa perancangan jangka pertengahan serta panjang perlu dilaksanakan bagi menstabilkan harga ayam.
Pertamanya, Malaysia perlu mencari sumber alternatif bahan mentah tempatan bagi memastikan kos makanan ayam berpatutan.
Langkah ini boleh dilaksanakan dengan menggalakkan petani-petani yang berjaya termasuk generasi muda menanam jagung.
Kedua, digunakan mesin dan peralatan lain dalam sektor penanaman jagung bermula dari awal penanaman hingga ke penuaian.
Malahan mesin dan peralatan juga diperlukan selepas proses penuaian untuk mengelakkan pembaziran.
Ketiga, gunakan sisa pertanian termasuk daripada kelapa sawit serta sisa dari dapur sebagai bahan mentah dalam makanan ayam.
Sisa terbabit kini tidak diurus dengan berkesan sekali gus menyebabkan kemudaratan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. SHRI DEWI APPLANAIDU, Universiti Utara Malaysia (UUM)