Kecewa GLC kaut untung atas angin - Utusan Malaysia

Kecewa GLC kaut untung atas angin

AKTIVITI penanaman sayur-sayuran oleh penduduk harus digalakkan bagi membolehkan orang ramai mendapat bekalan yang segar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU rasuah dalam kalangan penjawat awam adalah antara perkara lumrah yang sering diperkatakan dan ramai yang terlibat telah didakwa di mahkamah.

Di sini saya ingin membangkitkan satu fenomena yang telah lama berlaku tetapi jarang didedahkan iaitu tindakan syarikat milik kerajaan (GLC) sama ada di peringkat Pusat atau negeri yang mengaut untung atas angin dengan cara membuat duit tanpa ada usaha atau menjalankan perniagaan.

Antara kes terbaharu melibatkan para petani di beberapa kawasan di Perak yang mengusahakan pelbagai tanaman khususnya sayur-sayuran selama berpuluh-puluh tahun.

Petani-petani kecil ini telah mengusahakan aktiviti pertanian yang membekalkan bahan makanan kepada penduduk setempat dalam tempoh lama tetapi malangnya kerajaan memutuskan untuk tidak memberikan hak milik tanah walaupun sesetengah daripada mereka pernah memohon geran tanah.

Sebaliknya tanah-tanah yang yang diusahakan oleh petani-petani kecil ini selama puluhan tahun telah diserahkan kepada GLC.

Tanah tersebut bukannya digunakan oleh GLC terbabit untuk menjalankan pelbagai projek bagi faedah rakyat atau menghasilkan pulangan pendapatan kepada orang ramai.

Sebaiknya pihak pengurusan GLC terbabit mengambil jalan mudah mengaut untung atas angin dengan menjual tanah terbabit kepada syarikat swasta untuk dijalankan projek perumahan atau perindustrian.

Ini menyebabkan petani-petani ini menghadapi tindakan pengusiran secara paksa tanpa tanah alternatif yang membolehkan mereka untuk meneruskan aktiviti pertanian yang merupakan punca pendapatan mereka dan juga sumber bekalan makanan kepada penduduk setempat.

Pihak kerajaan perlu melakukan pembaharuan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang memberi perlindungan terhadap petani-petani kecil dan bukannya dengan cara menjadikan GLC yang telah sedia ada kaya menjadi semakin kaya.

Langkah ini bukan sahaja dapat melindungi rezeki mereka, tetapi akan mewujudkan jaminan makanan segar kepada masyarakat setempat.-UTUSAN

HAJI HAMZAH
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya