Kebebasan bersuara ada batas - Utusan Malaysia

Kebebasan bersuara ada batas

KEBEBASAN bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan mempunyai had dan sempadan yang tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ANTARA ciri penting yang menunjangi sistem demokrasi ialah kebebasan bersuara. Ia dianggap sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia.

Di Malaysia, kebebasan bersuara terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan merupakan kebebasan asasi yang diberikan kepada warganegara.

Namun, harus difahami bahawa kebebasan bersuara atau apa-apa jua kebebasan yang diberikan Perlembagaan Persekutuan mempunyai had-had, kawalan dan sempadan yang tertentu.

Perkara 10 ini yang dicadang untuk dipinda dengan memasukkan Fasal 3A selepas Fasal 3 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan satu akta khususnya berhubung larangan ahli dewan terbabit bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen.

Jika kita menilai dari sudut kehidupan dunia ini pun kita akan akur bahawa tiada satu perkara pun yang bersifat mutlak.

Justeru, dalam konteks kehidupan bermasyarakat dan bernegara, undang-undang yang ada turut mempunyai peruntukan yang mengawal kebebasan rakyat supaya kehidupan bermasyarakat tidak menjadi huru-hara.

Kawalan yang dilaksanakan bertujuan menjamin kerukunan, keharmonian dan solidariti serta keselamatan negara supaya tidak diganggu-gugat oleh anasir-anasir perosak atau subversif.

Oleh itu, untuk memastikan ada kawalan terhadap perkara tersebut maka di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Malaysia diperuntukkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang perlu dan mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.

Undang-undang itu diwujudkan untuk mengawal aktiviti berkaitan hak asasi supaya ia tidak membawa mudarat kepada negara dan masyarakat.

KONTRAK SOSIAL

Pelaku atau kumpulan yang berbuat demikian pula dapat diambil tindakan secara undang-undang.

Dalam konteks kebebasan bersuara di Malaysia, ia berada di bawah lingkungan kawalan Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Polis 1967 dan beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan.

Oleh itu, kebebasan bersuara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan wajar digunakan sebaik mungkin mengikut lunas-lunas dan had-had yang telah ditentukan.

Sesiapa yang melanggarnya akan berdepan dengan tindakan berdasarkan undang-undang yang sesuai dengan kesalahannya.

Dalam masyarakat majmuk, kebebasan bersuara sama ada melalui pengucapan, media cetak atau elektronik dan media sosial harus mengelak daripada menyntuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah, hasutan, salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.

Antara isu-isu sensitif seperti yang telah ditetap Perlembagaan Persekutuan adalah seperti perkara berkaitan kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, kuota bagi orang Melayu dan penduduk bumiputera Sabah dan Sarawak, kedaulatan raja-raja serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Sayugia diingatkan bahawa Akta Perlembagaan (Pindaan) 1971 antara lain telah memasukkan Fasal 4 untuk mengingatkan kepada semua rakyat supaya tidak mempertikaikan terma kontrak sosial yang dipersetujui sebelum merdeka.

Terdapat juga larangan-larangan lain seperti penghinaan terhadap mahkamah, kedudukan raja-raja, mempertikai hak-hak keistimewaan yang telah ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, menyebar berita-berita palsu serta perbuatan menghasut adalah dilarang. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Selayang Bharu, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya