SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 kepada ahli yang akan dibayar mulai bulan ini.
Diberitakan, seiring pengumuman pengeluaran khas KWSP ini, muncul pelbagai usaha pihak tidak bertanggungjawab terutama di platform media sosial untuk mengambil kesempatan dengan menipu demi mengaut keuntungan.
Urus niaga ini lebih dikenali dengan istilah scammer (penipu) atau jenayah kolar putih. Isu penipuan sebegini semakin hebat diperdebatkan berikutan kes dilaporkan kian meningkat terutama di fasa pandemik.
Malah, golongan terpelajar dan berkedudukan tinggi juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa sindiket licik ini. Kesan daripada aktiviti penipuan ini menyebabkan ramai kehilangan duit simpanan membabitkan jutaan ringgit.
Malah, ada pula yang terpaksa memikul bebanan hutang. Modus operandi penipu ini adalah dengan bijak bermain emosi, memancing kepercayaan dan seterusnya mewujudkan suasana panik untuk memperdayakan mangsa.
Keberhasilan teknik ini menyebabkan mangsa lebih terdorong untuk membuat keputusan tanpa perlu berfikir dengan lebih panjang lagi.
Menurut kajian, salah satu faktor utama orang ramai mudah terperangkap dengan penipuan adalah kerana sifat tidak acuh dan tidak peka dengan isu semasa berkaitan aktiviti berkenaan.
Mereka beranggapan adalah mustahil untuk menjadi mangsa. Sikap seperti ini membuka jalan dan mewujudkan peluang lebih cerah untuk para penipu melakukan aktiviti secara berleluasa.
KELDAI
Selain itu, faktor ingin cepat kaya juga pendorong utama kepada peningkatan peratus kes penipuan. Pemasaran berbilang tingkat (MLM), black money (wang palsu) dan skim penipuan ponzi (skim cepat kaya) antara contoh pelaburan yang ditawarkan oleh penipu dengan menjanjikan hasil pulangan lumayan.
Mangsa hanya perlu melabur sejumlah duit dan dijanjikan ganjaran berpuluh kali ganda daripada jumlah pelaburan sebenar.
Sesuatu yang amat membimbangkan jika mana orang ramai yang terpedaya dengan janji manis penipu, tidak teragak-agak untuk menggunakan dana KWSP berjumlah RM10,000.
Dengan harapan mereka akan beroleh keuntungan berlipat kali ganda sehingga ratusan ribu ringgit. Sudah pasti kita tidak mahu ramai lagi yang akan menjadi mangsa penipu.
Justeru, kerajaan disarankan menubuhkan satu pasukan khas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia bagi menerima laporan, mengenal pasti dan menjejaki penipu serta keldai akaun.
Hukuman lebih berat juga wajar dikenakan terhadap keldai akaun yang didapati bersalah kerana bersubahat melakukan jenayah kolar putih ini.
Sekiranya perlu, kerajaan juga disarankan mewujudkan talian bantuan 24 jam khusus untuk menerima laporan dan juga memberi kaunseling bagi memulihkan emosi mangsa. – UTUSAN
DR. SURAYA IKA TAMRIN & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam