SAUDARA PENGARANG,
TUBERKULOSIS (batuk kering) adalah suatu penyakit berjangkit berbahaya yang disebabkan oleh organisma dikenali sebagai mycobaterium tuberculosis (lebih dikenali sebagai TB). TB dikesan oleh ahli arkeologi sejak 9,000 tahun dahulu di Atlit Yam (bandar yang ditenggelami lautan di kepulauan Mediterranean) melalui ibu dan anak yang dikebumi bersama. Sejarah TB mulai didokumentasi sejak 3,300 dan 2,300 tahun dahulu, masing-masing di India dan China.
TB merupakan punca kematian nombor satu di Malaysia pada 1940-an dan 1950-an. Pada 2020, sebanyak 1.5 juta orang mati akibat jangkitan TB di seluruh dunia manakala di Malaysia, dilaporkan dianggarkan sebanyak 30,000 orang.
Penyakit ini tidak mengenal usia dan mudah berjangkit. Namun begitu, terdapat rawatan yang terbukti berkesan serta vaksin untuk mencegah jangkitan yang teruk, iaitu suntikan vaksin bacille calmette-guerin (BCG).
Tanda-tanda seseorang dijangkiti termasuklah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, batuk berdarah dan batuk berkahak yang tidak sembuh setelah mengambil antibiotik. Individu yang terjangkit juga mungkin berpeluh pada waktu malam, kurang selera makan, mengalami penurunan berat badan dan pernafasan terasa sakit di dada, terutama apabila menarik nafas yang dalam.
Selain itu pesakit mengalami demam, sakit perut atau cirit-birit berpanjangan, bengkak kelenjar di leher, sakit tulang belakang, kencing berdarah, jaundis dan sakit kepala yang tidak berhenti atau semakin teruk.
Rawatan TB dilakukan secara bersemuka oleh doktor dan jururawat terlatih di klinik secara directly observed treatment (DOTS) semasa fasa intensif. Rawatan ini terbukti berkesan menyembuhkan jangkitan berbanding pengambilan ubat secara sendiri.
Bagi pesakit yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan atau mempunyai kekangan untuk hadir secara fizikal bagi pengambilan ubat, kini terdapat alternatif secara teleconsultation atau video observed treatment (VOT).
Vaksin BCG diberikan kepada bayi yang baru lahir atau kanak-kanak sehingga umur tujuh tahun adalah usaha untuk mengelakkan penyebaran TB yang serius, termasuk TB meningitis (radang pada selaput sekeliling otak dan saraf tunjang). Jangkitan TB dalam kalangan bayi dan kanak-kanak lebih rumit untuk dirawat.
Bersempena Hari TB Sedunia yang disambut pada 24 Mac setiap tahun, peluang ini harus diambil oleh setiap golongan masyarakat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai penyakit TB agar kita sama-sama dapat menghindari daripada jangkitan ini. -UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NUR AMANI @ NATASHA AHMAD TAJUDDIN, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya