Implikasi buruk Indonesia sekat eksport minyak sawit - Utusan Malaysia

Implikasi buruk Indonesia sekat eksport minyak sawit

INDONESIA tidak membenarkan minyak masak dan minyak sawit mentah dieksport ke luar negara bagi memenuhi permintaan pasaran domestik bermula hari ini. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEBERAPA hari ini dunia telah dikejutkan dengan tindakan Indonesia yang tidak membenarkan minyak masak dan minyak sawit mentah dieksport ke luar negara bagi memenuhi permintaan pasaran domestik bermula hari ini.

Mungkin berita ini satu perkara yang mengembirakan Malaysia sebagai pengeksport keluaran kelapa sawit kedua terbesar dunia. Indonesia merupakan negara pengeksport minyak sawit terbesar di dunia.

‘Yak yak yey’ juga, tetapi kalau rakyat marhaen hendak tahu, sebenarnya harga tinggi bagi keluaran kelapa sawit ada implikasinya.

Pertama, akan ada banyak aduan dari pihak tertentu pada kementerian yang bertanggungjawab tentang kes kecurian buah kelapa sawit yang melonjak-lonjak. Ini semuanya akan menyebabkan pekebun kecil kelapa sawit tidak tidur lena.

Kedua, akan adanya kes harga anak benih kelapa sawit melambung tinggi dan sukar dikawal oleh kementerian bertanggungjawab.

Saya difahamkan ada satu syarikat tapak semaian anak sawit menjual anak pokok dengan harga lebih RM30, padahal sebelum ini harganya sekitar RM17 dan RM20 sahaja.

Ini pastinya akan membebankan pekebun-pekebun kecil dan syarikat perladangan kelapa sawit untuk membeli anak pokok sawit ini.

Apa yang pasti, berapa harganya mungkin syarikat perladangan boleh membeli kerana mereka banyak wang, tetapi bagaimana pula dengan pekebun-pekebun kecil yang kurang sumber kewangan untuk mendapatkan anak benih pokok sawit ini. Tidak mustahil suatu masa nanti harganya boleh melonjak menjadi RM50 sebatang.

Ketiga, akan ada syarikat pembungkus semula minyak masak juga akan menerima implikasi kenaikan harga minyak sawit ini. Sekarang satu botol minyak masak tiada subsidi oleh pihak kerajaan dianggarkan di bawah RM30 satu botol lima kilogram.

Tidak mustahil suatu masa nanti harganya boleh mencecah sehingga RM50 satu botol. Ini pasti menyebabkan pihak pembungkus minyak masak serba salah untuk menaikkan harga, sedangkan mereka terpaksa membeli minyak sawit mentah dari kilang penapis minyak sawit dengan harga yang sangat tinggi.

Keempat, akan ada rungutan dari pihak kilang penapis minyak sawit mengenai harga yang tinggi yang dikenakan pada mereka oleh kilang proses buah kelapa sawit suatu masa nanti sebab harga minyak sawit yang tinggi dan sukar dikawal oleh seluruh dunia amnya.

Kelima, akan adanya masalah pada pihak kerajaan untuk menentukan jumlah subsidi yang akan dikenakan pada satu paket minyak masak satu kilogram.

Tentu kerajaan serba salah untuk menaikan subsidi, sedangkan minyak masak boleh dikategorikan sebagai bahan terpenting dalam kehidupan penduduk dunia sekarang ini.

Boleh dikatakan di dapur dan bilik mandi semua manusia di dunia dibuat daripada lemak, terutama lemak dari sumber tanaman termasuk kelapa sawit.

Situasi kita sekarang ini adalah seperti kisah dan lagu rakyat, Bangau Oh Bangau. Semua rantaian dari permulaan anak pokok sawit sehingga minyak sawit akan terlibat sekiranya Indonesia menghentikan eksport minyak masak mereka ke seluruh dunia. Rakyat Malaysia harus bersedia dengan semua kemungkinan.-UTUSAN

IBNU ARASY DZIKRULLAH
Kepala Batas, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN