Henti drama katak melompat - Utusan Malaysia

Henti drama katak melompat

DRAMA lompat parti ini harus dihentikan bagi mengelakkan rakyat negara ini pening dan sakit kepala. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dijangka dibentang di Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat, Julai ini.

Langkah tersebut hanya dapat dibuat setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 diluluskan. Dewan Rakyat baru-baru ini bersetuju untuk menyerahkan RUU itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan membuat beberapa syor termasuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana pindaan lain yang dianggap perlu.

Semua pihak harus menyokong usaha kerajaan dan pembangkang itu kerana sudah sampai masanya negara memiliki sebuah peruntukan undang-undang khusus bagi menghentikan drama lompat parti dalam kalangan ahli politik di negara kita.

Persoalan penting yang perlu ditanya, sekiranya kita mampu menghasilkan pelbagai jenis undang-undang bagi mengawal kebebasan orang ramai untuk bersuara dan meluahkan pendapat mereka, kenapa kita tidak boleh merangka sebuah undang-undang untuk mengawal ahli politik.

Langkah itu penting bagi mengelak mereka daripada lompat parti politik dengan sesuka hati sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara serta memeningkan dan menyusahkan kepala rakyat dengan drama mereka.

Pihak-pihak yang berkaitan dalam negara perlu memberi pertimbangan terhadap cadangan bagi mewujudkan undang-undang khusus RUU Anti Lompat Parti bagi menghentikan tindakan mana-mana pihak yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya yang lalu daripada melompat parti.

Undang-undang khusus mengenai perkara terbabit juga adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan pentadbiran negara untuk tempoh jangka masa panjang serta yang paling penting dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi mereka kepada ahli politik.

Drama lompat parti ini harus dihentikan bagi mengelakkan rakyat pening dan sakit kepala melihat gelagat ahli politik yang melompat parti sehingga boleh menggugat kestabilan politik dan perjalanan pentadbiran negara.

Sekiranya amalan melompat parti ini dibiar berterusan adalah dibimbangi negara boleh menjadi huru-hara, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara kita akan terjejas teruk sekali gus memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.

Jika drama lompat parti ini dibiarkan berterusan ia turut akan memberi kesan kepada reputasi Malaysia di mata dunia serta menggugat keyakinan pelabur untuk datang melabur.

Kita juga tidak harus lupa, negara memerlukan kestabilan politik bagi memperbaiki keadaan ekonomi yang terjejas teruk akibat daripada penularan pandemik Covid-19 pada awal tahun 2020 yang lalu.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya usaha yang diambil bagi mewujudkan sebuah akta khusus melarang mana-mana wakil rakyat yang dipilih daripada menukar parti diteruskan demi kestabilan politik dan ekonomi negara.

Namun, perlu diketahui juga, adalah sukar untuk cadangan RUU Anti Lompat Parti terbabit dilaksanakan pada masa kini dalam negara kita kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip dan jaminan kebebasan kepada semua rakyat Malaysia untuk berpersatuan selaras dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, adalah penting supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya sebuah akta khusus bagi menghentikan drama lompat dapat dilaksanakan dengan berkesan dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak pada masa akan datang.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN