Guru bersara awal kerana protes?

Guru bersara awal kerana protes?

MASALAH bilangan murid terlalu ramai di dalam kelas melebihi paras ideal sebanyak 15 orang perlu diselesaikan dengan segera. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CERITA jumlah guru bersara awal sama banyak dengan yang bersara wajib kini menjadi topik hangat semenjak Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin mendedahkannya.

Saya bersetuju dengan pendapat beberapa pihak bahawa trend tersebut sudah lama dihidu tetapi masalah sindrom penafian pihak-pihak berkaitan menyebabkan ia tidak terdedah sehingga berkembang menjadi barah.

Masalah dalam sistem pendidikan ini sebenarnya sudah lama, iaitu sejak 1980- an lagi tetapi beransur-ansur menjadi besar terutama apabila diperkenalkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Jadi, masalah yang menimpa pendidik ini berkisar tentang isu guru yang tidak diberi perhatian dan pihak pemerintah pula lambat bertindak serta menganggap ini masalah kecil. Apabila bertukar pemimpin atau kerajaan, masalah tenggelam begitu saja.

Berdasarkan pengalaman saya, banyak masalah guru jika hendak ditulis dan dibincangkan tetapi memadai dibangkitkan dua isu utama.

Antaranya, suasana tempat kerja yang tidak kondusif. Bukan tiada elektrik atau air, tetapi jumlah murid yang terlalu ramai di sesebuah kelas melebihi paras ideal iaitu 15 orang.

Pernah suatu ketika, ada rungutan guru terhadap masalah murid yang terlalu ramai dan sekolah memerlukan bilik darjah tambahan, tetapi kerajaan menghadapi masalah mendapatkan tapak sesuai dan selamat.

Cuma baru-baru ini ada ura-ura untuk membina sekolah baharu terutama di bandar bagi mengimbangi pertambahan murid tetapi pembinaannya sukar untuk dilaksanakan dengan segera kerana melibatkan harta awam dan tiada kawasan sesuai.

SERONOK

Jika tempat kerja tidak menjanjikan ketenangan dan keseronokan bagi guru mahupun pelajar, maka berlakulah pelajar ponteng kelas dan guru tertekan fizikal dan mental dalam menangani masalah di tempat kerja.

Selain itu, banyak cadangan dan janji kerajaan, antaranya untuk mengurangkan subjek dan beban murid ke sekolah tidak dilaksanakan.

Tidak beberapa lama dahulu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Amin Senin pernah mengesyorkan pengurangan buku teks murid sekolah rendah tetapi langkah tersebut tidak dilaksanakan. Bahkan senyap tiba-tiba tanpa dibincangkan.

Kalaulah cadangan beliau itu berjaya, masalah beg murid dengan buku yang banyak boleh diatasi sekarang dan sudah tentu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah menjadi lebih seronok.

Bagi guru pula, kerja menjadi lebih mudah dan tidak tertekan dengan silibus yang banyak dan tidak perlu mengisi pelbagai borang dan data pula.

Ada banyak lagi masalah melibatkan golongan pendidik dan biarlah Kementerian Pendidikan mengumpulkan maklumat dan seterusnya membuat perincian wajar bagi menanganinya.

Ingatan buat kerajaan, selagi hak pendidik tidak dipenuhi seperti kakitangan awam yang lain, maka guru akan terus mencongak bilangan tahun berkhidmat bagi memohon bersara awal walaupun mereka ada 10 atau lima tahun lagi untuk menabur bakti.

Yang rugi ialah murid yang memerlukan tunjuk ajar dan ilmu pengetahuan daripada guru.

Lagi pun, kakitangan awam terikat dengan peraturan iaitu Perintah Am dan mungkinkah langkah bersara awal adalah sebagai protes golongan pendidik ini? – UTUSAN

ABDUL HAMID Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya