Fikir dulu sebelum kongsi

Fikir dulu sebelum kongsi

SETIAP individu perlu mempunyai daya literasi media sosial yang tinggi dan mampu menyaring sesebuah isu dengan baik sebelum berkongsi kepada orang lain. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

VIDEO tular melalui platform media sosial sudah begitu sinonim dengan masyarakat pada masa kini.

Saban hari ada sahaja perkongsian yang menimbulkan kontroversi dan mengundang kritikan warga maya.

Ini juga disebabkan oleh penggunaan media sosial dan internet yang tinggi lantas menyebabkan penyebaran dan perkongsian sesebuah isu itu berlaku dengan lebih pantas.

Hal ini turut disokong oleh data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020 yang jelas menunjukkan ada peningkatan terhadap penggunaan internet isi rumah disebabkan pandemik Covid-19.

Antara bahan-bahan yang sering dikongsi oleh warga maya adalah isu-isu berkaitan hiburan, berita dan pengumuman perkhidmatan awam.

Ketiadaan ‘penjaga pintu’ dalam talian boleh menyebabkan isu tidak sahih dan tidak benar dihebahkan kepada kelompok masyarakat yang lebih besar, langsung mengeruhkan lagi keadaan lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan isu menyentuh sensitiviti negara, agama dan perkauman.

Disebabkan itu, warga maya perlu mempunyai daya literasi media sosial yang tinggi dan mampu menyaring sesuatu isu dengan baik sebelum dikongsi kepada orang lain.

Sebaiknya, pengguna media sosial perlu mengamalkan konsep 3R iaitu research (penyelidikan), responsibility (bertanggungjawab) dan report (lapor) sebelum berkongsi sebarang maklumat atau membuat komen.

Konsep ­fikir dahulu sebelum kongsi juga perlu dipraktikkan bagi mengekang lebih banyak lontaran kata-kata negatif dan tidak baik apabila muncul sesebuah video tular.

Akhir kata, ibu bapa juga harus memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka.

Ini selari dengan peribahasa Melayu iaitu melentur buluh biarlah dari rebung bagi mendidik generasi baharu untuk lebih peka dan beradab dalam melayari internet. – UTUSAN

DR. NAZRA ALIFF NAZRI, Universiti Malaysia Perlis (Unimap)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN