Elak bersesak daftar anak di kolej kediaman universiti

Elak bersesak daftar anak di kolej kediaman universiti

Kesilapan memilih kursus dan lewat menyedari kemampuan diri boleh menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak dapat menamatkan pengajian mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOLEJ kediaman merupakan sebahagian komponen utama di institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyediakan kemudahan penginapan dan makanan serta aktiviti pembangunan mahasiswa.

Secara dasarnya, bahagian hal ehwal pelajar sesebuah universiti dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kemudahan penempatan khusus itu.

IPT juga menyahut saranan agar sentiasa menaik taraf keperluan asas dan ­fizikal untuk mewujudkan suasana penempatan yang selesa dan kondusif.

Kolej kediaman juga berperanan sebagai aset yang menyumbang kepada pendapatan setiap universiti.

Kemudahan kolej kediaman yang berada pada tahap tertinggi dalam memenuhi keperluan sama ada akademik atau sebagai tempat kediaman akan memberi keyakinan dan semangat kepada pelajar dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

Dengan kemudahan terbaik yang disediakan, pelajar dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran di samping mengimbangi keperluan akademik, rohani dan jasmani.

Kebiasaannya, Mac dan April merupakan bulan di mana para pelajar universiti sedia ada mahupun yang baru mendapat tawaran mula pulang ke kampus masing-masing bagi memulakan sesi semester pengajian baharu.

Penerapan norma baharu ke atas proses pendaftaran dan kemasukan pelajar ke kolej kediaman dilihat semakin maju dengan mengambil kira teknologi sedia ada serta penggunaan sumber-sumber terkini.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, majoriti IPT sememangnya sentiasa bertungkus lumus menambah baik proses pendaftaran dan kemasukan pelajar mereka.

Pandemik memaksa IPT untuk bekerja lebih keras dalam usaha transformasi proses ini khususnya peralihan dari sistem konvensional ke arah pendaftaran secara penuh dalam talian.

Sebelum memasuki era pandemik Covid-19, pendaftaran masuk ke kolej kediaman di setiap IPT dilaksanakan secara ­ fizikal.

CUTI

Kelihatan ibu bapa berbondong-bondong membantu anak mereka menyelesaikan proses pendaftaran yang memakan masa dan tenaga.

Ada yang berpanas dan berhujan ketika mengharungi proses ini. Tidak kurang juga yang terpaksa mengambil cuti hanya untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

Amalan ini dilihat kurang relevan untuk diamalkan sepanjang tempoh pandemik. Kebolehjangkitan dari satu pelajar kepada pelajar lain adalah sangat tinggi jika proses secara ­fizikal dilaksanakan.

Dengan kehadiran varian Omicron, ia lebih merumitkan keadaan. Prosedur operasi standard (SOP) pendaftaran secara ­fizikal pelajar ketika pandemik melibatkan proses saringan kesihatan terlebih dahulu.

Pihak universiti menetapkan hanya pelajar bersama dua orang, iaitu ibu bapa atau penjaga yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 dan memenuhi tempoh keberkesanan vaksinasi (yang ditetapkan) dibenarkan hadir ke universiti.

Jika ada pelajar didapati bergejala, mereka akan dimasukkan ke bilik isolasi bagi tempoh yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Mereka dipantau dan diberikan bantuan makanan sepanjang tempoh isolasi. Jika keadaan semakin serius, pelajar akan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, peralihan dari sistem konvensional ke arah pendaftaran secara penuh dalam talian membolehkan kehadiran pelajar hanya untuk mengambil kunci dan seterusnya menetap di bilik kolej kediaman masing-masing.

Langkah ini sangat membantu mempercepatkan proses pendaftaran dan dapat mengurangkan kadar jangkitan dalam kalangan pelajar dan staf.

Malah sekiranya berjaya, modus operandi yang sama boleh dicadangkan untuk dilaksanakan di sekolah berasrama penuh. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya