SAUDARA PENGARANG,
KITA sudah memasuki minggu-minggu terakhir Ramadan. Stesen televisyen juga semakin berlumba-lumba menayangkan drama-drama bersiri khas sempena Ramadan.
Namun sayangnya, kandungan drama-drama ini terutama yang ditayangkan pada waktu perdana dan menjelang berbuka tidak langsung mencerminkan wajah dan semangat Ramadan.
Plot utamanya masih lagi sama seperti drama bersiri yang disiarkan di luar Ramadan yang tidak jauh daripada konflik perebutan harta dan kuasa, perbezaan darjat dan kecurangan.
Watak-watak utamanya juga masih belum berkembang. Masih terdapat mentua yang bengis, penuh kebencian, caci maki dan iri dengki terhadap menantu perempuan.
Ada pula karakter lelaki atau suami yang mudah dipengaruhi, terburu-buru membuat keputusan dan tidak sudah-sudah memberi penderitaan kepada isteri.
Si kaya yang ego dan mendabik dada. Tidak ketinggalan juga watak wanita sanggup menghalalkan segala cara demi mendapatkan apa yang diinginkan termasuk merampas hak milik orang lain.
Watak-watak ini pula tidak ragu-ragu untuk menghamburkan segala ancaman, bentakan, kata kasar serta intimidasi. Malah, ada yang sanggup melakukan kekerasan fizikal seperti menampar, menumbuk dan memukul.
Biasanya pula, saat kekerasan dan ancaman ini dilakukan, watak-watak lain yang berada di sekitar hanya mampu melihat dan membiarkan tanpa ada tindakan atau dialog untuk menegur dan memperbetulkannya.
TUDUNG
Hal ini hanya membangkitkan emosi dan rasa marah penonton yang meluap-luap. Mereka mungkin mengeluarkan kata-kata kasar saat menonton drama-drama ini sambil meluapkan keinginan untuk melakukan hal yang tidak baik kepada watak-watak terbabit.
Hal ini tentulah berlawanan dengan semangat Ramadan yang mengutamakan sifat-sifat sabar, tenang, dan berprasangka baik.
Lebih malang lagi, ada pula watak-watak antagonis yang memakai tudung sambil melakukan tindakan kejahatan dan kekerasan. Perkara ini bukan sahaja menodai bulan suci tetapi juga mencemar imej Islam di mata orang lain.
Bandingkan pula dengan program sinetron istimewa Ramadan di negara tetangga Indonesia yang jauh lebih baik seperti Para Pencari Tuhan Jilid 15 dan Amanah Wali 6.
Sinetron ini berjaya meraih jumlah tontonan yang tinggi meskipun ditayangkan pada pukul 3.30 pagi tanpa perlu menghadirkan elemen-elemen konflik dan kekerasan berlebihan.
Ajaran Islam digambarkan secara adil, lembut dan mendidik yang disampaikan menerusi dialog dan adegan lucu serta menghiburkan dan bukan melalui kata-kata kasar, kelicikan dan kesombongan.
Justeru, mungkin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh mengeluarkan ingatan dan teguran berhubung program-program yang ditayangkan khusus sempena Ramadan, sepertimana dilakukan oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) setiap kali tiba Ramadan. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara Cawangan Perak