Cara elak, cegah, atasi kesan banjir di rumah - Utusan Malaysia

Cara elak, cegah, atasi kesan banjir di rumah

BANJIR besar yang berlaku di beberapa negeri wajar dijadikan iktibar dengan mengambil pendekatan mencegah dan mengatasi bencana itu di rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANJIR besar yang dahulu dikatakan berlaku sekali dalam 100 tahun kini nampaknya sudah menjadi kejadian biasa. Pada pertengahan Februari lalu, banjir telah menjejaskan lapan daerah di Terengganu. Pada pertengahan Disember 2021 dan Mac tahun ini pula, banjir yang melanda Lembah Klang menggemparkan negara.

Perubahan iklim, pembangunan pesat dan urbanisasi menjadi punca peningkatan bencana banjir sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan tahun-tahun mendatang. Kesan ketara kepada aktiviti sosioekonomi dan keselamatan memaksa orang ramai bersiap sedia dalam menghadapi banjir terutama apabila hujan lebat berterusan.

Selain menunggu pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menambah baik sistem tebatan banjir, kita boleh memainkan peranan dalam mencegah dan mengurangkan kesan banjir melalui langkah berikut:

1. Bersihkan dan periksa sistem saliran di sekeliling rumah dengan kerap.
Sekatan disebabkan sampah, daun dan serpihan lain dalam sistem perparitan merupakan antara punca utama banjir. Anda juga boleh bekerjasama dengan jiran untuk memantau longkang di kawasan perumahan untuk memastikan kelancaran aliran air. Hubungi jabatan perkhidmatan pembetungan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan segera jika longkang tersumbat.

2. Ikut trend bumbung hijau.
Bumbung hijau bertindak sebagai alat pengurusan hujan untuk bangunan dengan menimbal air melalui tumbuhan, lapisan substrat dan lapisan saliran untuk mengurangkan limpahan air sambil menyingkirkan bahan pencemar dalam air hujan. Namun, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan semasa membina bumbung hijau seperti struktur rumah untuk menampung beban bumbung yang direndam air hujan, pemilihan tumbuhan dan sistem saliran. Pastikan anda berunding dengan pakar industri pembinaan dan seni bina untuk memastikan bumbung hijau anda selamat dan dapat memberikan faedah yang dijanjikan.

3. Pasang sistem penapisan air.
Sampah, lumpur dan sisa dari sistem pembetungan dan longkang akan ditolak air banjir lalu mengalir masuk ke dalam takungan, telaga dan paip yang membekalkan keperluan air harian. Pencemaran air selepas banjir akan memberi kesan kepada kesihatan dan rutin harian.

4. Pasang sistem penuaian air hujan di rumah.
Sistem penuaian air hujan mengumpul air hujan yang mengalir dari bumbung dan paip air hujan lalu menyimpannya di dalam tangki air untuk kegunaan masa hadapan. Sistem penuaian air hujan boleh membantu menyimpan air hujan untuk mengurangkan limpahan air dan mengurangkan risiko banjir di sekitar kawasan perumahan.-UTUSAN

KOO ZAO CHEONG
Pengurus Pembangunan Perniagaan Serantau Waterco Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN