SAUDARA PENGARANG,
LEBUH Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) yang mula beroperasi pada Ogos 2004 merekodkan penambahan bilangan pengguna sama ada harian atau di musim perayaan mahupun hujung minggu.
Kemudahan hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah dilengkapi surau dan tandas sudah mencukupi.
Namun, sejak akhir-akhir ini didapati banyak kenderaan berat dan kecil berhenti di kawasan lapang yang agak luas di sebelah kiri Plaza Tol Karak LPT1 arah timur, terutama pada musim perayaan, hujung minggu dan ada kalanya pada hari-hari biasa terutama selepas waktu tengah malam. Ini bermakna kawasan tersebut sering menjadi tempat pemandu berehat seketika setelah penat memandu.
Sungguhpun begitu, kawasan agak luas itu hanya disediakan ruang yang boleh meletak kira-kira 10 buah kenderaan tanpa kemudahan tandas melainkan di sebelah plaza tol arah barat sahaja.
Kedudukan tandas arah barat ini pula agak jauh jika berjalan kaki dan merbahaya kerana terpaksa melintasi plaza tol yang ada masanya terlalu sibuk.
Maka, elok sekiranya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan konsesi LPT menyediakan beberapa unit tandas bagi keperluan pengguna lebuh raya sebelum Hentian Sebelah Lanchang arah timur yang lebih kurang 10 kilometer dari Plaza Tol Karak.
Oleh kerana kawasan berkenaan dilihat seperti tempat kenderaan berhenti seketika, maka elok disediakan kemudahan yang minimum.
Lebih-lebih lagi ruang tanah di situ masih luas dan mencukupi untuk membina beberapa unit tandas.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur