Banyakkan sumbang wang bina masjid, surau

Banyakkan sumbang wang bina masjid, surau

SUMBANGAN wang untuk pembinaan masjid akan mendapat ganjaran pahala. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MARILAH kita meraikan keberkatan sambutan Ramadan selepas sekian lama kita terikat dengan pandemik Covid-19 sehingga terpaksa beribadat hanya di rumah.

Apabila kerajaan membenarkan aktiviti ibadat secara lebih terkawal, maka kita boleh mengambil peluang ini untuk kembali memeriahkan aktiviti keagamaan di masjid dan surau.

Umat Islam disaran terus fokus beribadat termasuk 10 malam akhir yang menjanjikan pelbagai ganjaran pahala lebih besar.

Malam itu dikenali sebagai malam lailatulqadar. Malam tersebut sewajarnya diisi dengan aktiviti beribadat seperti bersedekah, menjamu orang berbuka puasa, bertarawih, membaca al-Quran, berzikir dan lain-lain lagi.

Menerusi catatan ringkas ini, saya mohon kebenaran untuk menyenaraikan masjid dan surau di Selangor yang masih memerlukan dana untuk tujuan pembinaan dan pembesaran pusat ibadat terbabit.

Saya berharap senarai yang dikemukakan ini meskipun tidak mempunyai rekod secara menyeluruh dapat membantu untuk sama-sama membangunkan rumah Allah SWT.

Jadi, sama-samalah kita menderma bagi pembinaan Masjid Lestari Perdana, Seri Kembangan; Masjid Yusuf, Sungai Pusu, Gombak; Masjid Al-Islahiah, Kuang dan Masjid Bukit Bandaraya, Shah Alam.

Ini termasuk sumbangan bagi pembesaran Surau Ar Rahman,Taman Impian Putra Fasa 6, Bangi dan Surau Haramain, Serene Heights, Semenyih.

Barangkali inilah peluang untuk kita sama-sama membantu gerakan dakwah terutama di bulan yang penuh mulia ini.

Rugi jika tidak mengambil peluang tersebut kerana kita tidak pasti adakah tahun-tahun akan datang masih berpeluang menyambut Ramadan atau sebaliknya.

Anda boleh bergilir-gilir bersedekah di masjid dan surau berlainan pada tiap-tiap malam di bulan Ramadan sepertimana dalam senarai sebagai salah satu cara membantu gerakan dakwah dalam menyebarkan syiar Islam.

Semoga catatan ringkas ini dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada kita sebagai hamba yang sentiasa bersyukur di atas kurniaan rezeki daripada Allah SWT. – UTUSAN

HAMBA ALLAH, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN