Bahaya guna banyak alat pada plag sama - Utusan Malaysia

Bahaya guna banyak alat pada plag sama

KEALPAAN dan kegagalan memastikan keselamatan ketika menggunakan produk elektrik boleh mengakibatkan kebakaran dan kecederaan pada tubuh badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN ramai yang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu atau mungkin masih berdegil dengan tetap menggunakan peralatan elektrik, plag, suiz atau wayar yang rosak dan pecah. Ia boleh menyumbang kepada berlakunya kebakaran.

Dalam hal keselamatan, apabila seseorang bekerja menggunakan peralatan elektrik, dia perlu mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan diri, keluarga mahupun rakan sekerja dengan sentiasa prihatin terhadap langkah keselamatan.

Ini kerana nisbah kematian terhadap kecederaan adalah tinggi berbanding kemalangan dalam kategori lain. Kegagalan mematuhi langkah keselamatan boleh mengakibatkan kemalangan yang serius.

Oleh itu, jangan pandai-pandai membuat penyambungan wayar atau plag lebih dari satu. Jangan gunakan seterika, kipas angin dan pembakar roti di penyambungan plag yang sama secara serentak.

Antara kemalangan atau kecederaan disebabkan penggunaan barangan elektrik adalah kejutan elektrik akibat daripada pengaliran arus berlebihan melalui badan seseorang menyebabkan fungsi tubuh seperti urat saraf, otot dan organ menjadi tidak normal.

Kealpaan dan kesalahan dalam penggunaan barangan elektrik boleh mengakibatkan kebakaran. Selalunya ia berlaku apabila wujud pemanasan berlebihan pada peralatan elektrik dan bersentuhan dengan bahan-bahan mudah terbakar.

Selain disebabkan punca semula jadi seperti kilat, banjir dan gempa bumi, pengguna perlu sedar bahawa kerosakan peralatan atau perkakasan elektrik pada pendawaian boleh menyebabkan kebocoran elektrik seperti kekurangan pembumian dan berlaku arus bocor atau kekurangan pelindung.

Justeru, berhati-hatilah dan jadilah pengguna yang bijak, arif dan berilmu dalam hal berkaitan bahaya elektrik.-UTUSAN

BULBIR SINGH
Seremban

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya