SAUDARA PENGARANG,
SECARA umum, syariat menetapkan kolaborasi wanita dalam muamalah harian berasaskan dua wilayah (kekuasaan), iaitu al-wilayah al ‘Ammah dan al-wilayah al-khassah. Keharusan wanita memegang urusan berkaitan dengan al-wilayah al-khassah tidak dipertikaikan oleh alim ulama. Sebaliknya dalam al-wilayah al-‘Ammah timbul pandangan berbeza mengenai kewajaran melantik seseorang wanita.
Ini kerana ia ditakrifkan sebagai satu jawatan atau kuasa yang menjalankan sesuatu urusan umum. Istilah kini pula penggunaan kuasa itu bermaksud memegang portfolio yang melibatkan perundangan, kehakiman dan eksekutif.
Islam memperjuangkan nasib wanita dalam mendapat hak dalam bidang kepimpinan, faraid dan kerjaya.
Sehubungan itu, pandangan ini perlu diteliti dengan mengambil kira kepimpinan wanita berlatarbelakangkan kearifan tempatan. Pembahagian bidang tugas berasaskan aspek biologi perlu diketepikan sebaliknya aspek gender perlu diutamakan selagi ia berada dalam koridor syariat.
Wanita berkerjaya dan aktif melakukan aktiviti sosial pada masa kini dalam pelbagai sektor pekerjaan sudah ditunjukkan melalui penampilan hebat pada zaman Rasulullah SAW, malah tidak bercanggah dengan syariat serta sesuai dengan martabat mereka sebagai wanita.
Syariat mengharuskan wanita bekerjaya ketika mereka perlu menanggung perbelanjaan hidup sendiri berserta keluarga pada saat orang yang patut menanggungnya sudah tiada lagi atau tidak berdaya disebabkan ujian sakit sama ada ibu bapa, suami atau negara ataupun untuk mengurus kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rumahtangga dan anak-anak. Begitu juga dalam urusan yang melibatkan keterbatasan tenaga lelaki.-UTUSAN
DR. AHMAD NASIR MOHD. YUSOFF, Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)