Tidak perlu ajar jaga gigi secara bersemuka - Utusan Malaysia

Tidak perlu ajar jaga gigi secara bersemuka

PENYAMPAIAN maklumat penjagaan gigi kepada pelajar sekolah harus menggunakan kaedah baharu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP tahun, semua murid dan pelajar sekolah kerajaan akan menerima pemeriksaan dan rawatan pergigian secara percuma oleh pasukan pergigian sekolah (PPS).

Tunjuk ajar cara penjagaan gigi dan pendidikan kesihatan mulut turut diberikan yang biasanya disampaikan menggunakan kaedah ceramah bersemuka kepada sekumpulan pelajar di dewan sekolah atau bilik darjah.

Bagaimanapun, kemunculan virus Covid-19 sejak awal 2020 menyebabkan kaedah penyampaian pendidikan kesihatan mulut secara ceramah bersemuka tidak dapat dilaksanakan untuk satu jangka masa lama.

Menyedari hakikat ini, sudah tiba masanya pendidikan kesihatan mulut kepada pelajar dibuat menggunakan teknologi terkini.

Antaranya mewujudkan satu platform khusus untuk pelajar belajar kaedah penjagaan gigi secara lebih interaktif dan boleh diakses secara dalam talian.

Platform ini sama ada dalam bentuk laman sesawang atau aplikasi telefon pintar yang mempunyai fokus mengikut usia kumpulan sasaran.

Maksudnya, platform untuk murid sekolah rendah adalah berbeza dengan pelajar sekolah menengah.

Ini untuk memastikan maklumat kesihatan yang disediakan dan cara penyampaian adalah relevan dan bersesuaian dengan usia.

Penyampaian pendidikan kesihatan mulut melalui aplikasi telefon pintar bukan sahaja sesuai untuk dilaksanakan di era penjarakan fizikal tetapi juga bertepatan dengan perubahan generasi pelajar pada zaman digitalisasi ini.

Dengan adanya aplikasi yang dibina khusus untuk mereka, pastinya penyampaian pendidikan kesihatan dapat dilakukan dengan lebih konsisten.

Cara penyampaian melalui aplikasi telefon pintar juga lebih menarik minat pelajar kerana ia bersifat interaktif dan memberi mereka kebebasan meneroka sendiri aplikasi terbabit. – UTUSAN

DR. NAZIRAH AB. MUMIN & PROF. DR. ZAMROS YUZADI MOHD. YUSOF, Pensyarah pergigian

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya