Sokong lapangan terbang di Maran

Sokong lapangan terbang di Maran

SUDAHKAH dibuat kajian sebelum memutuskan untuk membina lapangan terbang baharu di Gebeng, Kuantan?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi pandangan mengenai tulisan Cicit Aki Baji yang menyarankan lebih baik lapangan terbang baharu dibina di Maran yang terletak di antara Termerloh dan Kuantan, bukannya di Gebeng dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 4 Mac lalu.

Ini kerana Maran tidak terlalu hampir dengan Pangkalan Udara Kuantan milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain tidak terlalu jauh dari Kuantan sebagai ibu negeri.

Saya menyokong pandangan itu kerana boleh memajukan lagi kawasan Pahang Barat, Pahang Tengah dan Pahang Utara.

Adakah kerajaan negeri sudah membuat penilaian dan kajian sebelum memutuskan untuk membina lapangan terbang baharu di Gebeng, Kuantan?

Membina lapangan terbang baharu di Kuantan dirasakan tidak perlu kerana sudah ada sebuah lapangan terbang.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan tiada halangan terhadap cadangan pihaknya untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu di kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan.

Kerajaan negeri tidak sedarkah yang Pahang Barat banyak kawasan pelancongan seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser, Janda Baik dan Tanah Tinggi Bentong yang terdapat Air Terjun Lentang dan Air Terjun Chamang?

Di Pahang Tengah pula berhampiran Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Lanchang, terdapat banyak kawasan menarik termasuk Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah.

Terdapat tempat bersejarah yang ada kaitan dengan pejuang melawan penjajah Inggeris, Datuk Bahaman dan Mat Kilau di Kampung Mempateh dan terbaharu, titik tengah Semenanjung di Kampung Paya Siput.

Di Pahang Utara pula, kita jangan lupa bahawa ada Taman Eko Rimba Ulu Tembeling yang sudah terkenal di seluruh dunia yang dahulunya ada disediakan jalan udara ke sini tetapi ditutup kerana kemalangan pesawat yang membawa pelancong.

IKAN SANGKAR

Begitu juga di Genting Highlands, awal 1980-an dahulu ada penerbangan helikopter membawa pelancong ke situ tetapi ditutup juga akibat kemalangan helikopter.

Kita dapat lihat Pahang yang luas ini memerlukan jaringan tambahan pengangkutan udara untuk membawa barang dan manusia khususnya pelancong.

Apabila siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) nanti, pelancong dari Pantai Timur dan Lembah Klang boleh turun di perhentian kereta api di Maran, Mentakab dan Temerloh serta boleh juga ke tempat pelancongan melalui jalan udara jika dibina lapangan terbang antarabangsa baharu.

Dalam pada itu, selain Maran, lapangan terbang baharu itu turut sesuai dibina di Temerloh kerana kedua-dua daerah ini berada di tengah negeri Pahang yang mana sangat sesuai sebagai pusat pengumpulan dan penyuraian pelancong sebelum ke destinasi seterusnya.

Saya melihat industri pelancongan di Pahang agak lesu dan boleh dipulihkan dengan kewujudan jaringan pengangkutan yang cepat, mudah dan efisien seperti pembinaan lapangan baharu di Pahang Barat atau Pahang Tengah.

Akhir sekali, saya melihat lapangan terbang baharu ini boleh menjadi hab pengangkutan untuk mengangkut keluar hasil pertanian kerana Pahang Barat mempunyai banyak kawasan perladangan kelapa sawit seperti Jengka, Gugusan Mempaga dan estet buah-buahan di Lanchang, Raub, Lipis dan Jerantut serta ikan sangkar di Temerloh. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya