SAUDARA PENGARANG,
MUTAKHIR ini timbul fenomena baharu dalam kalangan pencipta, penulis lirik dan penerbit lagu-lagu Melayu yang seolah-olah berlumba-lumba untuk menunjuk-nunjuk siapakah yang lebih pandai menulis lirik dengan perkataan jangan pernah, tidak akan pernah, tidak akan pernah bisa.
Perkataan atau istilah ini sudah digunakan di Indonesia sejak dahulu lagi tetapi tidak pernah digunakan di negara kita dari zaman penjajah Inggeris.
Sebab itu, seniman agung, Tan Sri P. Ramlee tidak pernah menggunakan lirik jangan pernah tinggal daku dalam lagu tersohornya.
Logiknya, ‘jangan’ memberi maksud mencegah pada masa hadapan, manakala, ‘pernah’ bermaksud perbuatan masa lampau.
Jadi, tidak masuk akal menyuruh jangan membuat sesuatu pada masa lampau! Perkataan bahasa Inggeris don’t ever yang diterjemahkan sebagai ‘jangan pernah’, ever di sini diterjemahkan sebagai ‘pernah’ walhal kita di Malaysia dan Singapura menterjemahkannya sebagai ‘sekali-kali.’
Saya perhatikan sudah ada penceramah agama terkenal di televisyen yang selesa sekali menggunakan perkataan ini dalam ceramah hariannya.
Ternyata kini, penulis dan pemberita di stesen televisyen awam sudah mula terpengaruh dengan perkataan ini dan menggunakannya secara kerap sekarang.
Ini adalah sebahagian daripada pemerhatian saya tentang perubahan yang berlaku di tanah air yang bersangkut dengan bahasa Melayu.
Orang kita terlalu rapuh meniru tanpa mengetahui asas sesuatu perkara. Isu ini telah banyak kita ketengahkan dalam akhbar ini sejak beberapa tahun lalu tetapi tidak ada pembaikan.
Dalam pada itu, saya teringat satu komen mengenai pemain bola sepak kita yang tidak pandai berbicara ketika ditemu ramah secara rasmi.
Ini berbeza dengan atlet di luar negara yang begitu lancar berbahasa mengekspresi diri sewaktu wawancara.
Mungkin sekolah masih belum menerapkan kemahiran ini di peringkat awal sehingga kepetahan berbicara tidak diutamakan. – UTUSAN
BADRUDDIN, Petaling Jaya