SAUDARA PENGARANG,
Papan tanda petunjuk jalan yang jelas dan sempurna memainkan peranan penting untuk sesebuah organisasi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
Malah, salah satu daripada tanggungjawab hakiki sesebuah PBT adalah menjaga aset-aset supaya berada dalam keadaan baik, tidak cacat ataupun sakit mata memandang.
Sekiranya papan tanda petunjuk jalan itu berada dalam keadaan cacat ataupun lusuh, maka orang ramai berasa kurang berkeyakinan terhadap keberkesanan serta tadbir urus PBT berkenaan.
Justeru, saya menggesa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya membaik pulih papan tanda petunjuk jalan yang terletak di Bulatan Melawati di Shah Alam dengan kadar segera.
Sejujurnya, saya telah memerhati situasi aset ini sejak beberapa bulan lepas. Oleh kerana kedudukan aset ini berada di laluan kenderaan yang sibuk, saya hanya berpeluang merakam gambar pada 26 Februari lalu sebagai bukti kukuh.
Itu pun setelah saya meletakkan kereta agak jauh seterusnya berjalan kaki menuju ke situ untuk merakam gambar.
Maka dengan tersiarnya laporan tentang panda tanda tersebut di ruangan ini, diharapkan MBSA dapat mengambil tindakan sewajarnya untuk kebaikan bersama. – UTUSAN
KAMARUDDIN HASSAN, Shah Alam, Selangor