SAUDARA PENGARANG,
UMUMNYA, maqasid syariah membawa maksud tujuan hukum Islam untuk menjamin kepentingan masyarakat dalam apa jua urusan kehidupan.
Lima prinsip utama maqasid syariah adalah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Berdasarkan pemerhatian, prinsip maqasid syariah sangat berkait rapat dengan situasi pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini.
Seharusnya lima prinsip utama maqasid syariah dijadikan panduan dan teras oleh masyarakat tidak mengira bangsa atau agama dalam membuat persediaan dan perancangan menghadapi kesan berpanjangan pandemik ini.
Masyarakat perlu terus bersedia dengan membuat perancangan kewangan dan membeli perlindungan takaful bagi menjamin kestabilan kewangan.
Perancangan awal boleh memberi ketenangan fikiran tanpa perlu memikirkan bebanan kewangan yang bakal dilalui.
Analisis ekonomi tempatan mendapati tidak sampai 10 peratus golongan berpendapatan rendah (B40) membuat perancangan kewangan dengan mempunyai simpanan dan hanya bergantung harap kepada gaji.
Lebih parah, terdapat peniaga dan individu bekerja sendiri yang mempunyai simpanan kurang daripada RM3,000.
Dengan jumlah sebanyak ini, mereka dijangka hanya mampu bertahan selama sebulan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.
Adalah menjadi satu kewajipan bagi setiap lapisan masyarakat untuk mempunyai perancangan kewangan termasuk simpanan kecemasan.
Jika sebelum ini ada yang menganggap simpanan kecemasan sebagai mitos semata-mata, kini ia menjadi realiti.
Sebagaimana yang disarankan oleh kebanyakan pakar kewangan, setiap individu memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan pendapatan untuk dijadikan sebagai simpanan kecemasan.
RIBA
Jika berlaku perkara tidak diduga, kita masih mampu bertahan dengan simpanan kecemasan bagi tempoh singkat terdekat.
Dalam pada itu, terdapat juga laporan mengenai kadar pemilikan perlindungan insurans dan takaful dalam kalangan masyarakat yang masih rendah.
Memiliki perlindungan insurans dan takaful kini satu keperluan dan bukan lagi pilihan. Ia penting bagi menjamin kestabilan kewangan sekiranya ditimpa musibah yang tidak diinginkan.
Jika tidak memiliki perlindungan, besar kemungkinan wang simpanan yang penat dikumpul boleh habis dibelanjakan sederas air mengalir. Hal ini boleh mendatangkan masalah dan menyulitkan.
Jika diteliti secara terperinci, perancangan kewangan dan perlindungan takaful memenuhi tuntutan lima prinsip utama maqasid syariah.
Pertama, dari segi memelihara agama. Pengurusan kewangan yang baik dapat menyelamatkan diri daripada terjerumus dengan perangkap ah long atau ceti haram yang sudah terang lagi bersuluh melibatkan unsur riba.
Kedua, dari segi memelihara nyawa. Perlindungan takaful seperti pelan perubatan dan pelan penyakit kritikal membolehkan seseorang pesakit mendapatkan rawatan yang terbaik dan sewajarnya.
Ketiga, memelihara akal. Perancangan kewangan dan perlindungan takaful dapat menjamin ketenangan fikiran sekiranya sesuatu musibah datang melanda.
Keempat, memelihara keturunan. Sekiranya seseorang ketua keluarga atau pencari nafkah meninggal dunia atau tidak lagi mampu untuk meneruskan pekerjaan, pasangan atau ahli keluarga masih boleh meneruskan kehidupan dengan sumber kewangan dan manfaat perlindungan yang ditinggalkan.
Kelima, pemeliharaan harta. Perancangan kewangan dan perlindungan takaful dapat mengelak seseorang yang ditimpa musibah daripada bergolok-gadai harta benda untuk perbelanjaan harian dalam meneruskan kehidupan. – UTUSAN
MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam