Nyala lampu kecemasan semasa hujan bukan bijak

Nyala lampu kecemasan semasa hujan bukan bijak

JARAK penglihatan pemandu kenderaan boleh terjejas disebabkan hujan lebat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

UMUM tahu Monsun Timur Laut dari November hingga Mac setiap tahun merupakan musim hujan utama negara kita.

Hujan lebat bukan sahaja boleh menyebabkan banjir tetapi juga mengakibatkan kemalangan jalan raya sama ada di jalan biasa mahupun lebuh raya.

Walaupun malang itu tidak berbau, setidak-tidaknya dengan ada ilmu dan persediaan secukupnya, iaitu pemanduan selamat sewaktu hujan mampu mengurangkan risiko menempuh kecelakaan.

Dalam keadaan hujan, kita dinasihatkan mengurangkan kelajuan, lebih rendah daripada had laju ditetapkan.

Kenderaan yang dipandu laju lebih berisiko untuk terbabas atau tergelincir terutama sekiranya brek terpaksa ditekan mengejut.

Keadaan licin berpotensi mengurangkan cengkaman tayar lalu mengakibatkan jarak berhenti tambahan diperlukan. Oleh itu, amat penting kita sentiasa memastikan jarak selamat pemanduan dikekalkan.

Sentiasa pastikan ruang secukupnya antara kenderaan kita dengan objek di hadapan, sebaik-baik patuhi amalan jarak lima saat.

Sekiranya perlu membrek untuk memperlahankan kenderaan, usah ditekan pedal brek secara mengejut atau mendadak. Ini boleh menyebabkan kenderaan mudah hilang kawalan.

Tumpukan perhatian sepenuhnya ketika pemanduan. Peka keadaan sekeliling dan kekalkan penglihatan ke hadapan.

Kurangkan aktiviti yang boleh menyebabkan tumpuan terganggu termasuk menggunakan telefon bimbit ataupun bergurau senda.

TUMPUAN

Sesaat terleka boleh merubah segala-galanya, lebih-lebih lagi sekiranya jarak penglihatan rendah atau melalui laluan yang tidak biasa. Kedua-dua belah tangan harus berada di posisi pukul tiga dan sembilan pada stereng kereta.

Pastikan genggaman erat dan bukan memandu dengan sebelah tangan. Ini penting agar dapat mengawal kedudukan kenderaan sekiranya berlaku sebarang peluncuran tidak dijangka seperti terlanggar takungan air.

Sebagai pemandu yang prihatin terhadap pengguna lain di atas jalan, kita juga harus memastikan perlakuan pemanduan kita tidak menjejaskan tumpuan mereka. Jangan kelirukan tumpuan pemandu lain dengan menyalakan lampu kecemasan.

Lampu kecemasan ini jangan dinyalakan ketika kenderaan sedang bergerak. Pemandu lain akan terjejas tumpuan kerana menyangka kenderaan yang menyalakan lampu ini sebagai objek tidak bergerak.

Pastikan juga lampu brek anda berfungsi agar membolehkan pemandu lain peka kedudukan kita.
Jarak penglihatan boleh terjejas disebabkan keadaan hujan lebat yang turun bersama tiupan angin kencang.

Biasan air hujan menyebabkan objek di hadapan kelihatan seolah-olah lebih jauh dari jarak sebenar. Mereka yang mempunyai masalah penglihatan akan berdepan suasana ketidaktentuan ketika memandu dalam suasana ini.

Keadaan hujan yang lebat memerlukan pemandu mempunyai medan penglihatan yang cukup jelas agar dapat melihat setidak-tidaknya lima atau enam meter ke hadapan. Nyalakan lampu besar suluh rendah bagi memberi lebih pencahayaan bagi membantu penglihatan.

Tahap kebolehlihatan ketika hujan akan bertambah buruk sekiranya bilah pengelap cermin sudah lama tidak diselenggara atau ditukar baharu lantas gagal memberi kualiti sapuan sekata dan sempurna.

Tahap kesabaran yang tinggi juga memainkan peranan penting dalam mengharungi pemanduan di kala hujan lebat. Tidak perlu mementingkan diri sendiri dan harus bertimbang rasa kepada pengguna lain.

Tiada guna terburu-buru bahkan menggadaikan keselamatan diri sendiri dan orang lain semata-mata ingin tiba cepat ke destinasi diinginkan. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya