SAUDARA PENGARANG,
PADA zaman dahulu, orang ramai berhubung dengan menggunakan telefon awam. Kini semuanya sudah boleh diakses menggunakan telefon pintar.
Anda hanya perlu membuka skrin kekunci dan menekan pautan yang diinginkan.
Kita juga boleh mengakses berita di luar negara tanpa perlu menonton televisyen. Itulah kepantasan berita yang akan kita peroleh.
Bukan itu sahaja, keluarga juga dapat berkomunikasi secara jarak jauh menggunakan aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Skype dan lain-lain lagi. Ini sangat berguna untuk menyampaikan maklumat terbaharu kepada keluarga.
Dengan keadaan musim pandemik ini, kita juga akan dapat mengetahui berita serta perkembangan kes Covid-19 di negara lain dengan cepat.
Ini merupakan kesan baik penggunaan gajet dalam kehidupan sehari. Bagaimanapun, sepatutnya kita tidak mengharapkan media sosial untuk sentiasa menceriakan hati kita.
Malah, kita mestilah berkomunikasi dengan orang lain seperti kawan, keluarga, ataupun sesiapa sahaja. Ini adalah kerana interaksi di dunia sebenar adalah lebih baik daripada di dalam alam maya.
Apabila kita mempunyai masalah, kita hendaklah berkongsikan masalah dengan kawan-kawan dan bukan dalam media sosial.
Ini kerana ia adalah satu perkara yang bahaya apabila maklumat yang kita kongsikan dalam media sosial itu boleh dijadikan senjata untuk memusnahkan diri kita sendiri.
Kesimpulannya, sebagai pengguna telefon pintar kita mesti pandai menggunakan alat ini dengan sebaiknya.
Janganlah menjadi seperti nasi yang telah pun menjadi bubur barulah kita hendak menyesal dengan perbuatan kita. – UTUSAN
DR. NOOR AFZALIZA NAZIRA IBRAHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Alor Gajah