SAUDARA PENGARANG,
ANUGERAH Juara Lagu Ke-36 (AJL36) berlangsung dengan jayanya pada 6 Mac lalu menobatkan lagu Pelukan Angkasa nyanyian kumpulan SOG dan Shila Amzah sebagai pemenangnya.
Syabas diucapkan kepada semua finalis yang bertanding pada AJL36 bertemakan Ini Rentak Kita melibatkan 12 lagu daripada genre muzik berbeza.
Namun, melihat kepada senarai finalis bertanding, timbul persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan tema itu?
Apakah lagu-lagu bertanding mewakili keunikan rentak muzik kita, sesuatu melodi yang berasal dari Malaysia, menunjukkan identiti rentak kita sendiri dan bukan sekadar berkiblatkan muzik luar yang popular pada masa kini?
Majoriti finalis didominasi lagu-lagu balada, bukanlah sesuatu yang baharu dan boleh dihasilkan di mana-mana negara sekalipun.
Sebahagian besar lagu-lagu ini pula kedengaran sangat terkebelakang terutama dari segi melodi mendayu-dayu yang popular di sekitar 1980-an dan 1990-an dan digelar sebagai lagu-lagu ‘leman’ (karya kampung).
Meskipun ada yang berpendapat pemenang AJL36 telah menonjolkan kelainan dari tahun-tahun sebelumnya, perbezaan ini sebenarnya hanyalah sebatas asal kumpulan muzik itu sendiri yang datang dari arus hiburan indie.
Lagu mereka pula masih berpaksikan kepada acuan pop komersial dari luar yang rentaknya tidak berasal dari negara kita atau menonjolkan identiti rentak kita.
Pujian harus diberikan kepada lagu-lagu yang menggabungkan elemen moden dan tradisional seperti Intan Payung atau balada yang bersifat progresif seperti Boneka.
Bagaimanapun, masih jauh untuk kita menyatakan lagu-lagu ini adalah perlambangan kepada identiti rentak kita dan bukan sekadar mencedok identiti muzik pop masa kini.
PAKEJ
Jika kita telusuri lebih lanjut, industri muzik Korea Selatan atau K-Pop yang begitu gah di serata dunia juga sebenarnya tidak terlalu menonjolkan identiti rentak tempatan.
Mereka masih mempertaruhkan lagu-lagu pop komersial dengan elemen muzik rancak, jaz, soul, hip hop dan funk yang berasal dari luar negara.
Namun, yang membezakan mereka adalah bagaimana muzik mereka dipakejkan, yang sebenarnya boleh dilakukan oleh mana-mana artis dengan keazaman dan kesungguhan tinggi.
Muzik mereka tampil bersama visual berwarna-warni, gerak tari memukau serta kumpulan muzik besar dengan ahli berpersonaliti menarik dan pelbagai. Inilah yang menjadi identiti rentak mereka untuk dipasarkan ke seluruh dunia.
Jadi, bagaimana pula dengan muzik kita? Apakah yang dimaksudkan dengan rentak kita? Bagaimana kita menjual dan mempakejkan keunikan industri muzik kita?
Adakah dengan cara yang unik dan tersendiri ataupun masih bersandarkan acuan muzik luar di mana kelainannya hanyalah bahasa di dalam lirik lagu serta artis yang menyanyikannya?
Para penggiat seni muzik perlulah berusaha untuk menjenamakan industri muzik tempatan dengan rentak kita sendiri, mungkin dari segi irama atau bagaimana ia dipersembahkan kepada khalayak ramai.
Hal ini bakal menjadi pemangkin untuk muzik kita diketengahkan ke peringkat lebih tinggi supaya orang ramai boleh melihat industri muzik kita dengan segala keunikan citra tempatan yang tidak boleh didapati daripada mana-mana irama muzik lain di dunia ini.
Identiti rentak muzik kita tidak perlu terlalu gah, berwarna-warni atau popular seperti identiti muzik K-Pop.
Cukuplah saat orang luar mendengar muzik kita, mereka akan mengetahui, itulah rentak negara kita, Malaysia. – UTUSAN
MOHAMAD SYAFIQ YA SHAK, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak